CARDIFF – Pengendali Portugal, Jorge Jesus mula menghantar mesej amaran kepada pencabar lain di pentas Liga Negara-Negara Eropah selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas Wales, awal pagi semalam.
Walaupun sudah tidak diperkuatkan oleh Cristiano Ronaldo, Portugal menjuarai Kumpulan A4 dan Jesus bertegas pasukannya memiliki kualiti tersendiri untuk menghadapi cabaran di pentas suku akhir .
Jesus juga menganggap kemenangan tersebut mampu menepis keraguan terhadap pasukan, sebaliknya tiga mata kali ini mampu meningkatkan lagi keyakinan pemain untuk berdepan cabaran akan datang.
“Saya tidak takut dengan sesiapa pun, biarlah pasukan lain yang berasa gentar dengan Portugal. Saya tidak mempunyai pilihan tertentu kerana Portugal adalah pencabar selepas pernah memenangi kejohanan ini dua kali.
“Di peringkat kumpulan, kami menentang pasukan yang hebat di Eropah, adakalanya pasukan yang kuat boleh jadi lemah, begitu juga sebaliknya. Kami sudah berada di peringkat suku akhir, kita lihat nanti pasukan mana yang bakal kami hadapi,” katanya.
Pemilik baharu jersi No. 7, Carlos Forbs muncul wira apabila meledak gol kemenangan Portugal, sekali gus melengkapkan dua lagi jaringan daripada Bruno Fernandes dan Pedro Neto, manakala dua gol Wales dihasilkan oleh David Brooks dan Sorba Thomas.
“Adalah sesuatu yang bagus untuk memperoleh kemenangan kerana orang mula meragui apa yang kami sudah capai,” kata Jesus yang turut mengakui masih wujud beberapa kelemahan dan perlu diperbaiki segera. – AGENSI














