Ibrahim Abdul Karim rebah selepas selesai salam terakhir solat Zuhur di Masjid Kampung Hulu, Melaka, semalam. - Ihsan pembaca

‘Saya saksi kebaikan arwah sering beri minum jemaah berbuka’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

MELAKA – Gerak hati seorang warga emas menggagahkan diri ke masjid dalam keadaan uzur rupanya menjadi khusnul khatimah buatnya apabila dia meninggal dunia selepas memberi salam kedua solat zuhur dalam kejadian di Masjid Kampung Hulu di sini semalam.

Kejadian pukul 1.25 tengah hari itu menyebabkan Ibrahim Abdul Karim, 69, rebah sebelum disedari jemaah lain.

Lebih menyentuh hati, anak dan menantunya yang turut berada di masjid berkenaan sempat membantu Allahyarham mengucap dua kalimah syahadah.

Imam Masjid Kampung Hulu, Mohamad Syafiq Ramli berkata, Allahyarham jemaah yang sangat istiqamah dan hampir tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sepanjang 10 tahun beliau bertugas di masjid berkenaan.

Katanya, walaupun kesihatan Allahyarham merosot sejak dua hingga tiga bulan lalu, keadaan itu tidak menghalangnya untuk terus hadir ke masjid.

“Sebelum ini Allahyarham tidak kelihatan ke masjid hampir seminggu kerana kurang sihat dan dia baru keluar hospital kira-kira jam 10 atau 11 pagi semalam.

“Saya difahamkan sebelum kejadian arwah sempat makan tengah hari bersama anak-anaknya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum dia ke masjid.

“Keluarga ada nasihat supaya berehat kerana baru keluar hospital, namun dia tetap mahu ke masjid kerana terlalu rindu dengan rumah Allah ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohamad Syafiq, Allahyarham yang menghidap paru-paru berair bukan sahaja dikenali sebagai jemaah yang rajin ke masjid, malah pemurah dan sering menghulurkan sumbangan untuk kegunaan jemaah.

Tambahnya, antara amalan Allahyarham yang paling diingati ialah menyediakan beberapa kotak minuman untuk jemaah berbuka puasa setiap kali Ramadan.

“Dia selalu berpesan, kalau minuman tidak cukup, beritahu sahaja dan dia akan tambah untuk kegunaan jemaah berbuka puasa. Saya saksi kebaikan beliau.

“Selain sumbangan makanan dan minuman, Allahyarham juga sering menghulurkan wang setiap kali menjelang Ramadan bagi membantu mengimarahkan masjid, termasuk untuk program serta bayaran imam solat tarawih,” katanya.

Menurutnya, sifat pemurah dan kecintaan Allahyarham terhadap masjid menjadi antara kenangan yang sukar dilupakan jemaah serta warga masjid.

 

Jenazah dibawa ke Hospital Melaka sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina selepas solat Maghrib malam tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN