KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara terus menghidupkan peluang untuk memburu slot ke Piala Asia B-17 2027 selepas membelasah Guam 10-0 pada aksi Kumpulan E di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Bagaimanapun nasib skuad B-16 negara hanya akan dapat ditentukan pada perlawanan terakhir, Jumaat ini namun tiga mata kali ini cukup penting untuk terus memberi tekanan kepada India dan Palestin.
Skuad muda negara hanya memerlukan lapan minit untuk membuka jaringan menerusi Nur Azam Muslim Nor Hisham sebelum Brian Harrison Paulus menggandakan kelebihan pada minit ke-14.
Guam terus dihukum apabila Ahmad Muzakif Fitri Muhamad meledak gol ketiga Malaysia pada minit ke-22 sebelum sekali lagi memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Joseph Paul Palomo untuk menambah jaringan keempat pada minit ke-35.
Pesta gol skuad negara semakin rancak apabila empat lagi jaringan dihasilkan menerusi Muhammad Shah Haqiqullah (40), Harrison Paulus (42) serta Mohamad Fazryel Ashraf Zefri yang meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-44 dan masa kecederaan.
Selepas buntu dalam 20 minit pertama babak kedua, Malaysia akhirnya berjaya menambah jaringan kesembilan dan kali ini menerusi Muhammad Haziq Shakirin pada minit ke-66.
Ketinggalan sembilan gol langsung tidak beri kesan besar buat Guam yang dilihat mampu mencetuskan situasi cemas.
Sebaik aksi memasuki masa tambahan, Mohamad Fazryel melengkapkan hatrik untuk mengesahkan kemenangan bergaya buat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














