PETALING JAYA – Malaysia menyatakan sokongan terhadap pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar D-8 bagi tempoh 2027 hingga 2030.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ini kerana pelan tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh kerjasama negara anggota dalam menangani cabaran perubahan iklim.
Katanya, pelan itu menyediakan pendekatan lebih berstruktur bagi memperluas kerjasama dalam beberapa bidang keutamaan termasuk adaptasi dan daya tahan iklim, peralihan tenaga bersih, pembiayaan iklim, pemindahan teknologi, pemuliharaan biodiversiti serta pemulihan ekosistem.
“Malaysia mengalu-alukan cadangan pembangunan pelan ini. Malaysia melihat potensi besar D-8 untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam penyelesaian iklim dan alam sekitar yang saksama, praktikal dan mampan.
“Malaysia juga berharap dapat terlibat secara aktif melalui Kumpulan Kerja Teknikal dan Platform Kerjasama bagi mengenal pasti peluang perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal serta inisiatif bersama yang memberikan manfaat praktikal kepada negara anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Arthur menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi Peringkat Menteri D-8 mengenai Tindakan Iklim sempena Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye, hari ini.
Dalam pada itu, Arthur turut mengalu-alukan penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 bagi memudah cara dialog dasar, kerjasama teknikal, pertukaran maklumat serta penglibatan dalam perkara berkepentingan bersama.
Katanya, platform berkenaan diyakini mampu memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan menerusi perkongsian pengalaman dan penerokaan peluang pelaksanaan inisiatif bersama antara negara anggota.
“Kerjasama kita mestilah kekal inklusif, responsif terhadap keadaan negara masing-masing serta menyokong aspirasi pembangunan semua negara anggota D-8,” katanya.
Beliau juga menyampaikan penerimaan terhadap Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8.
Pada masa sama, Arthur menggesa negara maju supaya menunaikan komitmen pembiayaan iklim serta menerajui usaha menggembleng dana bagi membantu negara membangun melaksanakan tindakan berkaitan perubahan iklim.
“Pencapaian aspirasi iklim Malaysia bukan sahaja memerlukan komitmen domestik kukuh, malah persekitaran antarabangsa yang kondusif,” tegasnya.
Menurut beliau, Malaysia kekal komited mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 menerusi peralihan tenaga, pembangunan industri rendah karbon dan pengukuhan dasar iklim negara.
“Malaysia juga menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan
gas rumah kaca sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035, berbanding tahun pelepasan puncak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














