ABFGR 2027 akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, dari 19 hingga 22 Februari 2027 selama 66 jam tanpa henti.

ABFGR 2027 sedia peluang perniagaan kepada 900 usahawan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih 900 usahawan dijangka menyertai Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABFGR) 2027 yang buat pertama kali melebarkan penganjurannya ke Pantai Timur, dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM35 juta.

Langkah memperluaskan festival berkenaan ke Kuantan, Pahang dilihat membuka peluang lebih besar kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran baharu, selain merancakkan aktiviti ekonomi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penganjur Bersama ABFGR dan Tapestry by ABGR: Singgah Raya, Datin Wira Sabrina Abdullah berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran berkenaan berdasarkan pertumbuhan jualan yang direkodkan setiap tahun.

“Setiap tahun, kami melihat pertumbuhan jualan sekitar 20 hingga 25 peratus secara purata dan kami berharap momentum itu dapat diteruskan pada tahun depan,” katanya.

Menurutnya, ABFGR 2027 akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur pada 19 hingga 22 Februari 2027 sebelum diperluaskan ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada 5 hingga 7 Mac.

“Penganjuran di Kuantan itu merupakan julung kali diadakan di Pantai Timur selepas festival berkenaan berlangsung selama lima tahun. Sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peniaga dari negeri-negeri di wilayah itu menyertai platform perniagaan berkenaan,”katanya.

Secara keseluruhan, pihak penganjur menyasarkan penyertaan lebih 900 vendor di kedua-dua lokasi dengan acara di MITEC berlangsung selama 66 jam tanpa henti.

Penyertaan berskala besar itu dijangka menyediakan ruang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk, memperkenalkan jenama serta meningkatkan jualan menerusi kehadiran pengunjung.

Antara pengisian yang disediakan termasuk Mini Absolut Foodfest, jualan Happy Hour, konsert mini, sesi ramah mesra bersama selebriti dan pempengaruh serta pelbagai aktiviti interaktif.

Dalam perkembangan sama, Sabrina turut mengumumkan pengenalan acara baharu dikenali Tapestry by ABGR: Singgah Raya yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Februari 2027 di The Arch Galeries.

Acara itu memperkenalkan tiga konsep berbeza iaitu Premium, Pasar Lambak (Flea Market) dan Mini Absolut Foodfest (AFF) bagi menyediakan pilihan penyertaan lebih fleksibel kepada peniaga mengikut kemampuan dan sasaran pasaran masing-masing.

Pendekatan itu turut membuka peluang kepada usahawan kecil dan sederhana untuk menyertai platform berkenaan menerusi pakej penyertaan yang lebih mampu milik.

ABFGR sebelum ini mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai Ekspo Festival Raya Terbesar di Malaysia pada 2024.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN