KUALA LUMPUR – Lima rakyat Malaysia ditahan bersama rampasan 240 kilogram (kg) syabu dalam empat operasi di Thailand Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lima lelaki itu berusia antara 34 hingga 40 tahun dengan empat berasal dari Kedah dan seorang dari Selangor.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) Bangkok bahawa operasi dijalankan susulan risikan mengenai kegiatan penyeludupan syabu merentasi sempadan kedua-dua negara.
Katanya, operasi itu dijalankan Bahagian Polis Metropolitan 7, RTP bersama tentera dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB).
“Serbuan pertama di wilayah Prachuap Khiri Khan membawa kepada penahanan dua lelaki Malaysia serta rampasan 120 kilogram syabu daripada sebuah Toyota Alphard hitam.
“Serbuan kedua pula menemukan 120kg syabu dalam sebuah lagi Toyota Alphard hitam,” katanya.
Beliau berkata, daripada lima lelaki tempatan yang ditahan, dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan dadah, manakala tiga lagi tidak mempunyai rekod kesalahan dadah.
“Seorang lelaki berusia 37 tahun dari Kedah mempunyai tiga rekod dadah, manakala seorang lagi berusia 39 tahun dari negeri sama mempunyai satu rekod dadah.
“Tiga suspek lain masing-masing berusia 34, 38 dan 40 tahun tidak mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah,” katanya.
Hussein berkata, semua lima suspek memasuki Thailand melalui Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada tarikh berbeza.
Katanya, empat daripada mereka memasuki negara itu antara 8 hingga 9 November lalu, manakala seorang lagi pada 24 Oktober lalu.
“Dua wanita Thailand berusia 24 dan 25 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, pihaknya menerusi pasukan JSJN Kedah dan Perlis sedang mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand bagi memperluas siasatan.
“Kerjasama Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) Bangkok serta Polis Diraja Thailand (RTP) diperlukan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai lima rakyat Malaysia yang ditahan.
“Maklumat itu juga penting bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang disyaki terbabit di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lima rakyat Malaysia dan dua wanita Thailand ditahan polis Thailand dalam operasi membanteras sindiket penyeludupan dadah di Prachuap Khiri Khan dan Bangkok, membabitkan rampasan 240kg syabu.
Dadah itu ditemukan dalam dua kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang diubah suai dengan ruang tersembunyi menyerupai sistem audio kenderaan.
Siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati sindiket berkenaan dikendalikan oleh dalang yang berpangkalan di Malaysia.
Suspek dilaporkan dijanjikan bayaran antara 500,000 hingga satu juta baht (kira-kira RM61,000 hingga RM122,000) bagi setiap penghantaran yang berjaya.
Nilai syabu yang dirampas dianggarkan mencecah RM29 juta di pasaran Malaysia.














