PADANG TERAP – Luahan sayu seorang lelaki mengajar pemandu sebuah kereta Proton Wira yang dalam keadaan nazak selepas kenderaan dipandunya terbabit nahas di Jalan Padang Kerasak, Naka, di sini hari ini mengucap dua kalimah syahadah mengundang sebak orang ramai.
Video kemalangan yang tular itu memperdengarkan lelaki tersebut meminta pemandu yang cedera parah itu untuk mengingati Allah.
“Mengucap dik, mengucap… ingat Allah,” katanya.Â
Video kemalangan yang tular di media sosial sehingga mengundang perasaan sayu orang ramai yang melihat lelaki berkenaan dalam keadaan berlumuran darah, tetapi masih bernyawa.
Bagaimanapun, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Nerang (HKN).
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd Anuar Jusoh, berkata, anggota bertugas di kaunter aduan Balai Polis Trafik Padang Terap menerima maklumat awam pukul 3.35 petang berhubung nahas jalan raya membabitkan Proton Wira dengan lori Isuzu Rigid Kargo di Jalan Padang Kerasak di sini.
Katanya, siasatan di lokasi mendapati nahas berlaku ketika Proton Wira dari bulatan Padang Kerasak ke Pekan Naka dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori dari arah hadapan.
“Pemandu kereta iaitu lelaki berusia 29 tahun tersepit di tempat pemandu dan dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dikejarkan ke HKN untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat parah di kepala. Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Anuar berkata, pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.














