VICEROY mempunyai kemampuan untuk terbang apabila bergerak pada kelajuan tinggi.

Seaglider bot ‘terbang’ atas air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, syarikat pemula aeroangkasa dan maritim Amerika, Regent Craft (Regent) menyatakan bahawa prototaip pesawat seaglider elektriknya, Viceroy telah berjaya melakukan penerbangan pertama bersama anak kapal manusia.

Menurut syarikat pengeluar yang berpangkalan di Rhode Island, Amerika Syarikat (AS) itu, Viceroy menggabungkan aspek pesawat tradisional dan kapal maritim.

Ia merupakan kederaan wing-in-ground-effect (kesan permukaan sayap , WIG) elektrik sepenuhnya terbesar di dunia yang terbang bersama manusia di dalamnya.

Untuk makluman, WIG ialah kenderaan pengangkutan yang beroperasi dengan meluncur beberapa meter atau sentimeter di atas permukaan air dengan menggunakan prinsip aerodinamik dikenali sebagai kesan permukaan (ground effect).

Menurut kenyataan daripada Regent, dua kapten telah membawa prototaip Viceroy ke Teluk Narragansett di Rhode Island.

Dikategorikan sebagai kapal WIG Jenis A dan ditakrifkan sebagai sebuah vesel maritim, model tersebut direka untuk dikendalikan oleh kapten maritim yang memperoleh penarafan type rating selepas menamatkan kursus latihan.

Kenderaan itu akan diperakui dan dikawal selia oleh Pengawal Pantai AS (US Coast Guard) dan bukannya Federal Aviation Administration.

Menurut pihak pengilang, Viceroy telah terbang setinggi 10 meter di atas permukaan air selama kira-kira 30 saat, dengan jarak penerbangan sejauh 596 meter.

Jarak tersebut menyamai ketinggian menara radio dan televisyen yang terbesar di dunia. Regent turut menyatakan bahawa penerbangan itu menandakan peringkat akhir ujian laut bagi program ujian prototaip Viceroy.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Regent, Billy Thalheimer berkata, penerbangan tersebut menandakan permulaan era baharu dalam mobiliti, sekali gus membuka peluang dalam perjalanan penumpang, misi pertahanan dan pengangkutan kargo.

“Melihat prototaip seaglider kami terangkat ke udara buat kali pertama, ia menandakan satu pencapaian penting terhadap inovasi ini. Pencapaian ini membawa kami selangkah lebih dekat kepada penerbangan bersama kru, dan kami amat teruja,” katanya.

Penerbangan pertama Viceroy dengan kru manusia mengambil masa yang lama untuk direalisasikan. Pada Ogos 2024, Regent mendapat kelulusan daripada Pengawal Pantai untuk memulakan ujian prototaip di Teluk Narragansett dan Selat Rhode Island.

Sepanjang tahun tersebut, syarikat itu memaklumkan bahawa ia menyasarkan untuk memulakan ujian penerbangan menjelang akhir tahun berkenaan.

Mod Hidrofoil membolehkan Viceroy bergerak lebih laju dan lancar di atas permukaan air.

Namun, Regent hanya memulakan penerbangan prototaip Viceroy berskala penuh pada tahun lalu.

Syarikat itu meramalkan bahawa seaglider tersebut akan terbang dengan manusia menjelang musim panas, tetapi perkara berkenaan tidak menjadi kenyataan.

Hakikatnya, membina sebuah pesawat seaglider yang sesuai untuk kegunaan komersial, rekreasi atau ketenteraan untuk jangka panjang terbukti sangat mencabar.

Namun baru-baru ini, Regent memaklumkan bahawa Viceroy merupakan kapal WIG pertama yang direka bentuk dan disediakan untuk operasi komersial serta pertahanan pada skala besar.

Viceroy direka untuk perjalanan pesisir pantai dengan sifar pelepasan karbon yang dikendalikan oleh dua orang kru dan mampu memuatkan sehingga 12 orang penumpang.

Teknologi teras di sebalik Viceroy membolehkan ia beralih secara dinamik melalui tiga domain fizikal yang berbeza.

Pertama adalah Mod Badan Kapal (Terapung), di mana pada kelajuan rendah berhampiran dek atau pelabuhan, Viceroy beroperasi sama seperti bot tradisional, menggunakan badan kapal berbentuk V untuk meredah perairan bergelora dengan lancar.

Kedua, mod Hidrofoil yang membolehkan ia memecut keluar dari pelabuhan, di mana foil di bawah badan Viceroy boleh diaktifkan.

Foil itu akan mengangkat badan utama kapal sepenuhnya keluar dari air, sekali gus mengurangkan seretan ombak secara drastik, mengasingkan kabin daripada hentaman ombak, dan memaksimumkan kecekapan tenaga semasa berlepas.

Mod ketiga adalah Penerbangan, iaitu apabila mencapai kelajuan tertentu, kenderaan itu boleh terangkat sepenuhnya daripada foil dan terbang pada ketinggian sembilan hingga 10 meter di atas permukaan air.

Ketika penerbangan, ia bergerak di atas udara termampat yang terperangkap di antara sayap dan permukaan air.

Fenomena aerodinamik yang dikenali sebagai kesan bumi (ground effect) itu memberikan daya angkat ketara dan mengurangkan seretan berbanding penerbangan pada altitud tinggi.

Namun, satu-satunya kawalan untuk model itu adalah jenis bot yang dikendalikan menggunakan kawalan tujahan satu tuil dan sistem kawalan fly-by-wire.

Selain itu, ia dilengkapi teknologi antara muka digital yang memaparkan peta bergerak, radar, maklumat nasihat trafik serta info-info lain.

Regent mendakwa, sistem itu menawarkan tahap keselamatan dan kawalan yang belum pernah dicapai oleh mana-mana pesawat WIG sebelum ini.

Gambaran ruang dalam Viceroy tidak ubah seperti kabin pesawat.

Sementara itu, pelanggan pertama Regent di AS, pengendali perjalanan mewah, The Twenty Five berkata, kenderaan tersebut boleh digunakan untuk laluan Boston ke Nantucket yang mengambil masa satu jam atau Palm Beach ke Miami dalam masa 40 minit.

Syarikat itu juga percaya bahawa jarak perjalanan Viceroy dapat ditingkatkan kepada 640 hingga 800 kilometer bagi setiap pengecasan apabila teknologi bateri berkembang dan ketumpatan tenaga bertambah baik dalam beberapa tahun serta dekad akan datang.

Menurut The Twenty Five, penghantaran pertama seaglider elektrik itu dijangka pada 2027.

Menariknya, Regent telah mencapai pencapaian penting dalam pensijilan serta meningkatkan skala pembuatan Viceroy.

Syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan Lloyd’s Register dan rakan kongsi lain bagi membolehkan ia operasi di luar AS seperti Jepun.

Regent pada bulan Jun lalu telah menyiapkan sebuah kilang pengeluaran seaglider elektrik di Rhode Island.

Ia menyifatkan tapak tepi laut itu sebagai hab pengeluaran pertama di dunia untuk kenderaan WIG, dan akan mula beroperasi pada tahun ini.

Regent juga sedang membangunkan varian hibrid-elektrik autonomi bagi Viceroy, serta model ketenteraan dipanggil ‘Squire’ yang telah melakukan penerbangan groud effect pertamanya pada April lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN