KUALA TERENGGANU – Projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) di stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jertih yang dianggarkan bernilai RM16 juta kini berada pada peringkat penyelarasan keperluan projek dan persediaan perolehan sebelum memasuki fasa pembinaan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu telah menerima cadangan skop projek TOD tersebut daripada Majlis Daerah Besut.
“Beberapa mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada peringkat daerah dan negeri dengan melibatkan JKR Negeri Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta jabatan dan agensi berkaitan.
“Pada masa ini, JKR Negeri Terengganu sedang dalam proses menyediakan dokumen Kehendak Kerajaan bagi mengenal pasti, menyelaras dan mendokumenkan keperluan projek dengan jelas sebelum reka bentuk dimuktamadkan,” katanya pada sesi soal jawab dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jertih) yang bertanyakan perkembangan kemajuan di TOD Stesen ECRL Jertih.
Hanafiah berkata, proses perolehan projek dijadualkan dilaksanakan pada 26 Nov ini, manakala Surat Setuju Terima dijangka dikeluarkan pada 1 Mac tahun depan.
Beliau berkata, tempoh pembinaan projek yang dianggarkan selama 24 bulan itu merangkumi pembinaan seperti terminal transit, pemasangan lampu jalan solar, surau, pondok pengawal, kios untuk disewakan, dan sistem saliran serta perparitan.
ECRL yang dijadualkan mula beroperasi pada pertengahan Disember ini dijangka memendekkan masa perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang, dengan perjalanan Gombak–Kuala Terengganu mengambil masa kira-kira tiga jam, manakala perjalanan Gombak–Kota Bharu anggaran empat jam.
Pembinaan jajaran ECRL di Terengganu meliputi jarak sepanjang 242 kilometer dan merangkumi enam stesen, iaitu Chukai, Kemasik, Dungun, Kuala Terengganu, Bandar Permaisuri, dan Jertih. – Bernama














