Tangkap layar video memaparkan penumpang MRT Laluan Kajang terpaksa bersesak-sesak di stesen tren.

MRT Laluan Kajang ‘buat hal’ pengguna kena tukar tren berkali-kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengguna Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang berdepan kesesakan luar biasa pagi ini susulan gangguan teknikal tren sehingga menyebabkan perjalanan mereka ke tempat kerja tergendala.

Situasi itu mencetuskan keluhan dalam kalangan penumpang apabila mereka terpaksa menunggu lama di stesen, selain ada yang mendakwa diarahkan menukar tren beberapa kali sebelum dapat meneruskan perjalanan.

Menerusi perkongsian di Threads, beberapa pengguna memuat naik gambar dan video memaparkan orang ramai memenuhi ruang menunggu serta laluan pejalan kaki di beberapa stesen MRT.

Seorang pengguna Threads @jyhahazlan, turut berseloroh meminta klinik di sekitar Bangi, Kajang dan Semenyih memahami keadaan pekerja yang mungkin terpaksa mendapatkan sijil cuti sakit (MC) akibat tekanan dihadapi pagi ini.

“Kepada klinik-klinik sekitar Bangi, Kajang dan Semenyih, kalau ada yang minta MC pagi ini, tolong bagi, jangan marah. Mental tidak kuat hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna @jbh.hadi, meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa menukar tren berulang kali sebelum mengambil keputusan untuk berpatah balik.

“MRT mengalami masalah yang sangat teruk. Sudahlah kena tukar tren, selepas keluar mereka suruh tukar lagi sekali.

“Akhirnya saya mengalah dan berpatah balik ke Bandar Tun Hussein Onn (BTHO). Sampai di sana, tengok orang ramai macam ini. Semua patut boleh mohon bekerja dari rumah (WFH) kalau keadaan begini. Penat,” katanya.

Seorang lagi pengguna @dillazafrul, turut meminta pihak Rapid KL mengeluarkan kenyataan berhubung gangguan tersebut selepas mendakwa kelewatan berkenaan menjejaskan prestasi kerjanya.

“@myrapidkl boleh keluarkan apa-apa kenyataan? Sebab bos kata ini bukan masalah syarikat. Petunjuk prestasi utama (KPI) saya tidak tercapai sebab lewat,” katanya.

Sementara itu, Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan tren di Laluan Kajang telah kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 7.58 pagi selepas mengalami gangguan teknikal membabitkan sebuah tren di Stesen Taman Suntex.

Menurut Rapid KL, tren yang mengalami masalah itu telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan dibawa ke depot untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif yang diaktifkan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan sepanjang gangguan tersebut juga telah ditamatkan.

“Kekerapan tren sedang diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan operasi kembali berjalan mengikut jadual perkhidmatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Rapid KL turut memaklumkan pasukan teknikal akan terus menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan kestabilan sistem serta kelancaran operasi perkhidmatan.

Selain itu, anggota polis bantuan dan petugas stesen akan terus ditempatkan di stesen-stesen terjejas bagi membantu serta memberikan panduan kepada penumpang.

Rapid KL turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna susulan gangguan tersebut dan menghargai kesabaran serta pemahaman mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN