AMIR menasihati pendatang baharu untuk jadi diri sendiri supaya senang untuk menerima tawaran lakonan.

‘Jangan jadi the next Fattah Amin, Beto Kusyairy’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMPOH empat tahun bergelar anak seni mungkin dianggap agak singkat bagi sesetengah pihak untuk benar-benar mahir dalam sesuatu bidang. 

Namun, masa tersebut cukup mematangkan pelakon Amir Ahnaf, untuk mengenali selok-belok industri lakonan tanah air.

Meskipun namanya kini sedang mencanak naik selepas membintangi drama bersiri Projek: High Council, pelakon asal Terengganu itu mendedahkan perjalanan seninya tidaklah semudah yang disangka.

Pada awal pembabitannya, dia pernah berdepan saat sukar apabila terpaksa bergerak sendirian tanpa bimbingan pengurus. 

“Selepas High Council susah sebenarnya sebab saya tak ada pengurus. Hidup kucar-kacir dari segi pemilihan projek. 

“Saya pernah cuba terbang ke Indonesia untuk ‘casting’ di sana sebab nak cuba. 

Meskipun menerima rezeki tidak henti-henti, Amir berharap tiada perbandingan dilakukan antara dirinya dan pelakon lain. 

“Kalau nak cakap fasal rezeki, saya masih mencuba. Satu lagi saya bukan nak puaskan hati semua orang. Itu bukan caranya,” katanya kepada HibGlam.  

Meneliti perkembangan kerjayanya yang bergerak pantas, pemilik nama lengkap Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin tetap mengekalkan sikap merendah diri. 

Dia enggan selesa untuk memberi sebarang nasihat kepada pendatang baharu, sebaliknya hanya berkongsi pengalaman yang diraih sepanjang berada dalam industri.

“Saya orang baru, tak ada banyak pengalaman lagi untuk memberi pendapat kepada anak-anak muda tapi saya memberi apa saya belajar. 

“Industri ini besar, aktor tumbuh macam cendawan dan akan melahirkan ramai lagi. Yang penting adalah jadi diri sendiri. 

“Mierul Aiman, Nadhir Nassar dan Meerqeen, semua ada ‘warna’ masing-masing. Jangan jadi ‘The next’ Fattah Amin atau Beto Kusyairy. 

“Kita semua adalah produk. Kita yang jual diri kita sendiri,” ujarnya. 

Tambahnya, terma ‘menjual diri’ yang digunakan membawa maksud bagaimana seseorang artis memasarkan bakat dan kredibiliti diri bagi meyakinkan pihak produksi untuk memberi kepercayaan terhadap sesuatu watak.

“Drama atau filem, semuanya mengenai bisnes. Kalau awak tak pandai jual diri sendiri macam mana produksi nak ambil? 

“Macam mana pelabur nak letak duit untuk bagi amanah kepada awak mainkan karakter? Jadi awak perlu jual diri sendiri. 

“Itulah ‘seposen dua sen’ daripada saya. Saya orang baru saja,” jelasnya. 

Berbicara mengenai kejayaan serta rezeki seni yang semakin melimpah, pelakon berusia 26 tahun itu menasihati agar orang ramai menghindari sikap membandingkan pencapaian diri dengan individu lain.

“Jangan buat perbandingan. Awak bandingkan dengan orang lain, awak bunuh kegembiraan tersendiri. 

“Tuhan hadir rasa itu untuk awak. Kenapa nak kena bandingkan kegembiraan awak dengan orang lain. 

“Bersyukur, awak takkan bandingkan dengan orang lain. Sifat syukur itu sangat penting,” tuturnya. 

Jani dalam Baga

Dalam perkembangan lain, Amir kini sibuk mempromosikan filem terbaharunya berjudul Baga: Esok Untuk Siapa arahan Ariff Zulkarnain. 

Memegang watak sebagai Jani, bekas peserta Hero Remaja 2021 itu mengakui karakter tersebut menuntut komitmen emosi yang cukup tinggi, malah membantunya kembali mengenali erti akar umbi dan jati diri.

“Watak ini sangat berat bagi saya tapi saya bersyukur saya jumpa Jani dulu baru Kahar. Berjayanya Kahar disebabkan Baga. 

“Saya dah ‘lost’ (hilang) lama, bila bawa karakter Jani membuatkan saya kembali kepada akar umbi sendiri. Datang ke Terengganu, buang segala kehidupan bandar. 

JANI iaitu watak lakonan Amir dalam filem Baga: Esok Untuk Siapa bantu mengembalikan jati dirinya. 

“Kenal balik diri sendiri, karakter dan cuba untuk laksanakan watak cara orang Terengganu. Lama-lama saya rasa macam jumpa balik diri sendiri,” kongsinya.  

 Jelasnya lagi, karakter tersebut secara tak langsung banyak mendidik dirinya untuk kembali ‘memanusiakan’ diri. 

“Watak ini adalah paling susah sebab bila dah jauh dengan diri sendiri, dia jadi berat sebab kita dah lupa jati diri sendiri dan karakter itu yang membantu. 

“Pembelajaran pertama saya belajar bila masuk kelab teater dan perkara itu memanusiakan kita. 

“Teater itu lakonan, bila kita dah hilang sifat manusia, jati diri. Karakter Jani itu bantu saya memanusiakan balik diri saya. 

“Bila dapat jadi manusia, saya dapat rasa semua perasaan. Saya bersyukur sangat,” luahnya. 

Demi menghidupkan watak seorang penagih dadah dengan berkesan, pelakon filem Tarung: Unforgiven itu melakukan kajian mendalam termasuk merujuk pelbagai rujukan visual dan menghasilkan eksperimen lakonan bersendirian di dalam bilik.

“Bila dapat skrip, saya buat kajian tentang dadah dan tengok YouTube macam mana orang yang ada kesan dadah. Bila kita belajar bahasa badan, pertuturan kata, gerakan mata, kita cuba laksanakan.

“Paling saya rasa seronok saya duduk dalam bilik seorang diri, letak kamera dan cuba baca skrip serta berlakon karakter itu. 

“Tanpa siapa-siapa sebab tiada siapa akan menghakimi. Kamera saja yang ada dan cuba bayangkan kita di set ketika itu. 

“Saya cuba bayangkan duduk menggigil seorang dan bila tengok balik kalau masih nampak Amir Ahnaf, maksudnya saya tak berjaya. Jadi saya akan cuba buat lagi sampailah rasa macam orang lain,” jelasnya. 

Tidak cukup dengan itu, dia cuba mendapatkan kelulusan daripada orang sekeliling bagi menyempurnakan lagi mutu lakonannya di lokasi penggambaran.

“Selepas itu saya akan cuba tunjuk kepada orang lain untuk pastikan saya betul-betul berjaya. 

“Tapi saya akan cuba perbaiki, walaupun video itu berjaya tak semestinya dah berjaya sebab di set kita akan belajar sesuatu benda baharu,” tutupnya. 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN