MEKAH – Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi memperkenalkan perkhidmatan gelang keselamatan untuk pengunjung Masjidilharam, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Gelang itu direka untuk membantu mengesan kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sekiranya mereka terpisah daripada ahli keluarga atau individu yang menemani mereka, sekali gus memastikan keselamatan mereka ketika berada di dalam Masjidilharam dan kawasan datarannya.
Perkhidmatan percuma itu disediakan menerusi pusat penjagaan tetamu, dengan penerima perkhidmatan diberikan gelang yang mengandungi maklumat pengenalan diri bagi membolehkan petugas di lapangan mengenal pasti mereka dan menghubungi keluarga masing-masing apabila diperlukan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa berkenaan untuk mengutamakan keselamatan dan kebajikan pengunjung, selain memastikan persekitaran yang selamat dan mudah diakses oleh semua pengunjung Masjidilharam.
Langkah itu juga memudahkan urusan kunjungan mereka dan membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan tenang. – Bernama-SPA
















