PETALING JAYA – Sejumlah pengunjung sebuah pusat beli-belah di ibu negara berdepan detik mencabar apabila mendakwa terkandas sehingga lima jam di kawasan parkir bawah tanah akibat kesesakan lalu lintas yang luar biasa, semalam.
Kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa pengguna Threads berkongsi pengalaman masing-masing yang terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kenderaan sebelum dapat keluar dari kawasan parkir berkenaan.
Menerusi perkongsian gambar dan video, kelihatan deretan kenderaan memenuhi laluan parkir dengan pergerakan trafik yang amat perlahan sehingga menyebabkan pengunjung terperangkap.
Seorang pengguna Threads, @drwisyismd mendakwa dia terkandas selama lima jam selepas selesai menghadiri kelas pada pukul 1.30 tengah hari.
“Kelas pukul 12.30 tengah hari habis 1.30 petang, tetapi tersangkut dalam kesesakan di pusat beli-belah selama lima jam.
“Bagus betul pengawal keselamatan di sini bekerja. Dari pukul 1.30 petang langsung tidak bergerak. Akhirnya, terpaksa tinggalkan kereta dan balik menaiki LRT,” katanya.
Dalam hantaran susulan, individu berkenaan turut meminta pengguna lain memaklumkan sekiranya kesesakan sudah reda kerana mahu kembali mengambil kenderaannya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, @zeehah._ turut meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa terperangkap selama tiga jam di kawasan parkir sama.
“Siapa tahu punca kesesakan dalam parkir bawah tanah ini? Saya sudah tiga jam tersangkut,” katanya.
Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila dia mengambil masa sehingga empat jam untuk keluar dari kawasan parkir sebelum berdepan kesesakan lalu lintas di luar bangunan pula.
Seorang lagi pengguna, @nabillobello turut berkongsi gambar menunjukkan deretan kenderaan yang tidak bergerak di kawasan parkir berkenaan.
“Penatnya, sudah dua jam,” katanya.
Difahamkan, kesesakan itu berlaku ketika berlangsungnya program pengambilan jubah konvokesyen sebuah institusi pengajian tinggi yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, semalam. – KOSMO! ONLINE
















