PETALING JAYA – Calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 daripada Pakatan Harapan (PH), Mukhlis Mubin jauh ketinggalan dalam saingan tidak rasmi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N01 Kuala Linggi malam ini.
Berdasarkan paparan keputusan tidak rasmi laman sesawang myundi.com.my setakat pukul 8.15 malam, graduan undang-undang berusia 24 tahun yang mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) itu hanya memperoleh sebanyak 2,692 undi.
Beliau ketinggalan jauh di belakang penyandang kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Rosli Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Li yang selesa mendahului dengan meraih 6,971 undi.
Sementara itu, seorang lagi pencabar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Farhana Hamzah sekadar memperoleh sebanyak 393 undi daripada keseluruhan 10,056 jumlah undi yang dikira setakat ini. – KOSMO! ONLINE
















