SEKIRANYA PH diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir Melaka esok, wakil rakyat gabungan itu akan menggunakan semua medium yang ada membawa suara masyarakat ke Persekutuan.

PRN Melaka: PH bawa suara rakyat ke Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pemilihan seorang ca­lon dalam pilihan raya untuk mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak terhenti hanya sekadar proses demokrasi, sebaliknya turut menentukan laluan terhadap pembangunan lebih mampan di sesebuah kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini, boleh memainkan peranan lebih besar sekiranya sehaluan dengan Kerajaan Per­sekutuan.

Pemangku Pengerusi Majlis Pim­­pinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abd. Halim berpan­da­ngan, seseorang ADUN harus ber­peranan lebih dari ruang ling­kup negeri iaitu menyuarakan kepentingan masyarakat ke pe­ringkat tertinggi.

“Tidak semestinya bila kita sebut menghantar wakil ke dalam DUN hanya tersekat kepada kena menang sebagai kerajaan. Kita ada sejarah panjang sama ada sebagai pembangkang atau pun sebagai kerajaan dan sebagainya.

“Yang kita belajar daripada pengalaman itu adalah perspektif yang berbeza perlu ditawarkan dalam DUN mahupun dalam Parlimen, supaya kita boleh capai satu situasi di mana setiap sektor masyarakat ada perwakilan mereka.

“ADUN PH itu hikmatnya bukan hanya semata-mata untuk jadi pembantu atau penghubung kepada Persekutuan. Bagi saya, ADUN kepentingan utamanya adalah mewakili suara rakyat yang memilih mereka, tidak ­hanya untuk dilihat sebagai wakil kepada mana-mana blok,” kata­nya kepada Kosmo!

Adam Adli berkata, sekiranya PH diberikan mandat sekali lagi untuk mentadbir Melaka, setiap ADUN perlu menggunakan semua medium yang ada untuk me­nyelesaikan permasalahan rak­yat.

Katanya, isu-isu yang berkait dengan kesejahteraan keseluruhan rakyat perlu diberikan keutamaan untuk diselesaikan.

“Dari sudut infranya, program, dari sudut kebajikan. Malah kita juga harus tampil sebagai wakil masyarakat atau wakil rakyat yang turut memberikan perha­tian dan fokus usaha-usaha ter­hadap pembangunan sosial masyarakat itu sendiri.

“Perlu pastikan bahawa ki­ta boleh juga capai antaranya bagaimana untuk bentuk da­sar-dasar ke hadapan berkait de­ngan peluang pekerjaan untuk anak muda, meningkatkan sek­tor pelancongan yang lebih menguntungkan rakyat berbanding hanya terhad kepada beberapa pemain utama dan sebagainya.

“Jadi, setiap ADUN perlu ­me­ng­gunakan apa sahaja kapa­siti mereka untuk mewakili ke­pentingan-kepentingan yang berbeza ini. Maka, antara isu per­tama atau isu utama yang ha­rus diberikan perhatian tentu se­kali adalah berkait dengan kese­jahteraan secara keseluruhan rakyat di dalam kawasan masing-masing,” katanya.

ADAM ADLI (tiga dari kanan) menjelaskan melalui Belanjawan 2027, orang muda Melaka menerima peruntukan utama bagi pembangunan modal insan melalui TVET berteknologi tinggi.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menganak­tirikan mana-mana negeri, mes­kipun ia dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan.

Katanya, tanggungjawab Per­sekutuan terhadap negeri adalah suatu kewajipan yang mesti dipenuhi selaras dengan hak-hak yang dijamin.

“Kerajaan Persekutuan ada tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap sektor dalam negara ini dapat dijaga dengan sebaik-baiknya. Termasuk pembangunan di peringkat negeri yang memerlukan kerjasama de­ngan kerajaan negeri.

“Tidak kira siapa pun yang jadi kerajaan negeri, tanggungjawab Persekutuan itu kekal, sebagai yang memastikan agenda pembangunan dari segi ekonomi, infra, pendidikan dan sebagainya dapat diteruskan tanpa ada sebarang halangan.

“Ini dah dibuktikan contohnya bila mana kita tahu peruntukan-peruntukan daripada pusat ini turun ke negeri-negeri tanpa ada sebarang prejudis ataupun diskriminasi,” katanya.

Melalui Belanjawan 2027, Me­laka menerima beberapa peruntukan dan inisiatif pembangunan utama antaranya penubuhan Me­­laka Centre of Excellence bagi me­macu pembangunan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi.

Ini untuk melahirkan tenaga kerja mahir dengan tawaran gaji lebih baik. Selain itu, bagi pengurusan dan tebatan banjir, kerajaan Persekutuan memperuntukkan projek pemulihan sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai.

Sebanyak RM154 juta lagi untuk menyelesaikan masalah banjir berulang melibatkan RTB ­Sungai Ayer Salak di daerah ­Melaka Tengah.

Adam Adli berkata, wakil rak­yat yang dipilih selepas ini perlu menjadi jambatan komunikasi an­tara rakyat dengan semua pi­hak termasuk agensi-agensi ke­raja­an bagi menjayakan inisiatif yang dirangka.

“Wakil Rakyat PH tidak hanya bertanggungjawab untuk melihat atau semata-mata di kawasan sen­diri. Memang kita ada tanggungjawab sedikit lebih yang ber­­sandarkan kepada jambatan yang wujud antara mereka de­ngan kerajaan Persekutuan.

“Maka manfaatkan juga untuk pembangunan negeri secara keseluruhannya, bukan hanya melihat pada isu kawasan ma­sing-masing sahaja. Sebab itu semangat memakmurkan Melaka ini harus ada kerjasama yang baik. Lepas pilihan raya, saya kira tanggungjawab semua orang adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN