LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk enggan panik mengenai kontraknya bersama Liverpool yang akan tamat pada penghujung musim ini, meskipun mengakui belum ada perkembangan mengenai rundingan kontrak baharu.
Van Dijk telah menjadi tonggak penting sepanjang salah satu era paling berjaya dalam sejarah Liverpool sejak menyertai kelab itu dari Southampton pada tahun 2018.
Pertahanan tengah dari Belanda itu telah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris sebanyak dua kali selain memenangi dua trofi Piala EFL, Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Sejak ketibaan di Anfield, Van Dijk menjadi pemain kedua membuat penampilan terbanyak dengan 385 aksi selepas Mohamed Salah (413 penampilan) membuktikan dirinya adalah tonggak penting pasukan itu.
Tiada pemain pertahanan dari lima liga utama Eropah yang mampu mengatasi rekod 36 gol Van Dijk dalam semua pertandingan sepanjang tempoh itu, namun karier gemilangnya di Merseyside mungkin bakal menemui penghujung.
“Saya berasa baik, tetapi perkara ini bukan mengenai diri saya buat masa ini. Kita lihat sahaja nanti. Saya tidak panik.
“Saya mahu terus bermain dan meneruskan apa yang sedang saya lakukan. Kita lihat apa yang akan berlaku sepanjang musim ini. Saya sudah melalui pengalaman yang cukup menakjubkan setakat ini. Jika kontrak itu dilanjutkan, maka begitulah keadaannya.
“Jika tidak, saya akan pergi ke tempat lain. Buat masa ini, tiada apa-apa yang boleh dilaporkan, tetapi itu tidak bermakna saya tertekan atau berasa bimbang,” kata Van Dijk. – AGENSI
















