Anggota bomba bersama anjing pengesan K9 giat menjalankan operasi pencarian mangsa kepala air di Sungai Pertak, petang tadi. - BOMBA SELANGOR

Operasi mencari tiga mangsa kepala air diteruskan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak diteruskan pagi esok selepas ditangguhkan sementara malam ini berikutan arus sungai yang masih deras.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pencarian hari ini tertumpu di Seksyen C dengan menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan (K9), Pasukan Penyelamat Di Air serta lima buah bot.

Menurut beliau, pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan pasukan bomba sukarela (PBS) dengan pemeriksaan dilakukan di kawasan permukaan sungai.

“Di Seksyen B pula, pencarian lebih tertumpu kepada kawasan panas di sepanjang tebing sungai serta longgokan dan rimbunan pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu berdepan kekangan apabila hujan lebat kira-kira pukul 3 petang menyebabkan paras air sungai meningkat semula selain arus menjadi deras.

Keadaan itu menyebabkan operasi dihentikan sementara sebelum disambung semula pada pukul 5 petang.

“Operasi di kawasan tebing sungai bagaimanapun ditangguhkan pada pukul 7 malam berikutan arus sungai yang masih laju.

“Pemantauan di Seksyen C bagaimanapun diteruskan bagi mengesan sebarang objek terapung dengan bantuan lampu limpah,” katanya.

Terdahulu, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India hilang selepas dihanyutkan arus deras ekoran kejadian kepala air di Sungai Pertak pada pukul 5.30 petang, Isnin lalu.

Jasad lima mangsa ditemukan terdiri daripada warga tempatan, V. Vijayan, 36, warga Nepal dikenali sebagai Kapali, 49, dan B. Kunjanmalayil, 35, warga India, manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti ialah lelaki warga India dan Sri Lanka.

Usaha pencarian tiga lagi mangsa, iaitu dua warga India dan seorang warga Yaman masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN