PONTIAN – Kira-kira 900 penduduk di Kampung Tampok Laut, Benut, di sini, lega apabila penantian untuk mendapatkan liputan internet yang lebih baik akhirnya bakal tercapai.
Ketua Kampung Kawasan (12) Mukim Benut, Yahya Sulaiman berkata, masalah itu berjaya diselesaikan selepas ia disiarkan Kosmo!, sekali gus menarik minat syarikat telekomunikasi untuk membantu penduduk kampung.
Katanya, kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi baharu oleh Celcom Digi telah dimulakan pada Oktober lalu.
“Kawasan liputan dijangka sehingga ke kampung-kampung berhampiran seperti di Kampung Parit Makuaseng di mana terdapat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bugis dan sebuah pusat tahfiz.
“Alhamdulillah kerja-kerja dijangka siap dalam seminggu dua lagi bagi memboleh penduduk menikmati capaian internet lebih tinggi terutama bagi pelajar dan usahawan e-dagang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mustafa Mantong, 67, berkata, pembinaan pencawang telekomunikasi itu merupakan ‘hadiah’ kepada penduduk.
“Sudah tentu ia akan memberikan kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada semua penduduk terdiri daripada pekebun kelapa, kelapa sawit dan nelayan untuk berkomunikasi dengan anak-anak mereka,” katanya.
Kosmo! pada 21 Jun 2019 melaporkan sepasang suami isteri di Kampung Tampok Laut, Benut, di sini, resah memikirkan nasib empat anak mereka yang sukar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah ekoran masalah capaian internet yang lemah.
















