Siapa sangka, niat sekadar mencuba gewang jenis permukaan akhirnya membolehkan seorang pemancing mendaratkan black bass yang boleh diklasifikasikan sebagai ikan ‘trofi’ dalam kalangan pemancing.
Demikian realiti yang terjadi kepada seorang pemancing tegar, Muhamad Syafiq Anuar apabila tindakannya mencuba gewang permukaan berhasil mendaratkan black bass atau kanai di Sungai Kinabatangan, Kampung Sri Ganda, Lahad Datu, Sabah.
Black bass atau nama saintifiknya Lutjanus goldiei merupakan spesies pemangsa agresif yang sesuai untuk sukan memancing.
Pada trip selama lima hari empat malam itu, Muhamad Syafiq bersama lapan rakannya memberi fokus untuk memperbaharui ‘lesen’, dan ada yang memburu lesen pertama black bass.
Secara asasnya, bukan mudah untuk memperoleh ‘lesen’ black bass kerana banyak faktor yang mempengaruhi kejayaan pemburuan ikan tersebut terutama cuaca.
Sekiranya hujan lebat berterusan turun di bahagian hulu, ia boleh menyebabkan air sungai menjadi sejuk, keruh dan berkelodak.
Keadaan ini boleh membuatkan black bass menjadi pasif serta kurang bernafsu untuk memburu makanan termasuk meragut gewang.
Untuk akses ke Kampung Sri Ganda dari Pekan Lahad Datu, ia mengambil masa sekitar empat hingga lima jam bergantung kepada keadaan cuaca.
Kampung itu hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana perlu melalui permukaan off road ladang kelapa sawit yang berbukit.
Ujar Muhamad Syafiq, sebaik mendarat di Sabah, dia dan rakan-rakannya disambut oleh tekong Ipin yang juga merupakan pemilik inap desa sepanjang mereka berada di sana.
Tuah Gewang Permukaan
Berdasarkan pengalaman Muhamad Syafiq dan maklumat yang diperoleh daripada tekong tempatan, ikan kanai di estuari Borneo biasanya lebih ‘galak’ membaham gewang jenis selaman.
Bagaimanapun, setelah menukar beberapa lubuk berpotensi, pemburuan masih menemui jalan buntu.
Ini menyebabkan mereka perlu mencari alternatif lain memandangkan kos trip berkenaan menelan belanja ribuan ringgit.
Menurut Muhamad Syafiq, keputusannya menggunakan gewang permukaan jenis pencil Imakatsu Tairo 130MM dengan kod warna bone adalah sekadar suka-suka.
Ini kerana, agak sukar untuk ‘memujuk’ black bass di perairan Sabah menggunakan umpan tiruan aksi di atas permukaan air.
“Awalnya, kami bergerak ke spot Simpang Empat, namun tiada sebarang sambaran sehingga tengah hari.
“Kemudian, tekong mengambil keputusan bergerak ke lubuk Sungai Jeroco sebagai alternatif untuk menjejak black bass.
“Setiap penjuru spot saya cuba dengan gewang selaman, namun tetap tidak membuahkan hasil sehinggalah saya mengambil keputusan bertukar kepada gewang Imakatsu Tairo.
“Selepas melakukan beberapa lontaran, akhirnya saya mendapat sambaran pertama. Namun gagal mendapat hook-up yang kemas,” katanya.
Mengulas lanjut, dia berkata, situasi berkenaan membuatkan perasaan geram terus membuak dalam dirinya.

Ini menyebabkan gewang seberat 28 gram itu terus dibaling bertali arus di kawasan berhampiran, sebelum sambaran kedua berjaya mendapat sambutan kemas daripada black bass.
Muhamad Syafiq hanya memerlukan masa kurang lima minit untuk mendaratkan black bass seberat 7.5 kilogram hasil bantuan tekong handalan, Ipin.
Selain black bass, beberapa spesies demersal lain juga berjaya didaratkan dengan teknik mengilat seperti ikan jenahak, siakap merah dan alu-alu.
Untuk makluman, buat masa ini, spesies tersebut hanya boleh ditemui di beberapa estuari sekitar Borneo dan Papua New Guinea.
Bagaimanapun, terdapat laporan bahawa black bass telah berjaya ditangkap oleh nelayan tempatan di Sungai Kuala, Pulau Pinang baru-baru ini.
Malangnya, lubuk berkenaan bukanlah spot berpotensi untuk dikomersialkan bagi menduga spesies tersebut dengan teknik mengilat.
Justeru itu, bagi kaki pancing dari Semenanjung yang ingin menduga black bass, mereka perlu memperuntukkan bajet besar ke Sabah.
Peralatan Memancing
Bagi mengelakkan pemancing berputih mata, semua pengilat akan memilih peralatan berkekuatan berat untuk berdepan spesies demersal yang gemar berkeliaran di kawasan berstruktur.
Menurut Muhamad Syafiq, pada awalnya, gewang pencil Ikamatsu Tairo tiada dalam senarai gewang yang ingin dibawa ke Sabah.
Bagaimanapun, niat sekadar ingin mencuba itu berjaya memberikan ‘lesen’ black bass dalam trip pertamanya di Negeri di Bawah Bayu.
“Rata-rata pemancing yang menduga black bass di Sabah tidak akan bawa gewang jenis permukaan.
“Tetapi saya tergerak hati untuk membawanya bersama kerana rezeki dalam air tiada siapa yang tahu.
“Jadi terbukti, gewang berkenaan berkesan apabila saya berjaya mendaratkan black bass pertama,” jelasnya.
Sementara itu, bagi pilihan kelengkapan utama, Muhamad Syafiq menggunakan kekili Abu Garcia Revo Beast yang dipadankan dengan joran Rentaka Defy 5 saiz PE1-3.
Tali utama jenis sulam yang digunakan adalah berkekuatan 80lb daripada Proga Savage dan diikat pada tali leader Proga Vanish FC 100LB.
Mengulas mengenai pilihan warna gewang, dia menyarankan supaya menggunakan warna cerah dan berkilat seperti putih atau emas.
Namun, setiap pilihan perlu mengambil kira faktor cuaca semasa supaya kelibat gewang di dalam air mampu menarik perhatian black bass.
“Kebanyakan pemancing mengutamakan gewang berkilat. Namun, saya sarankan supaya sesekali cuba guna gewang permukaan. Buat pemancing yang ingin menduga
ikan ini, pastikan anda menggunakan set yang kuat supaya tidak berputih mata.
“Siapa yang memasang niat mengilat black bass, banyakkan bertanya kepada mereka yang berpengalaman,” katanya.
















