PETALING JAYA – Kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan di Persiaran Kosmos, Seksyen U5, di sini hari ini mengakibatkan tembok penahan cerun rosak dan sebahagian struktur tanah terdedah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi.
Menurutnya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh tiba di lokasi pada pukul 10.12 pagi dan mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan anggota bomba menjalankan pemantauan bagi memastikan kawasan berkenaan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam,” katanya, hari ini.
Difahamkan, beberapa bahagian tembok penahan konkrit didapati beralih kedudukan dan condong, malah terdapat blok yang runtuh.
Kejadian itu turut menyebabkan tanah di bawah sebuah bangunan di bahagian atas cerun terdedah, selain serpihan konkrit dan runtuhan bertaburan di kawasan terjejas.
Beberapa pokok kelapa juga dilihat berada berhampiran cerun berkenaan, manakala sebahagian struktur tembok penahan didapati berubah kedudukan.
Ashrul berkata, kes itu kemudiannya dirujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Punca kejadian serta tahap kerosakan struktur tembok penahan itu masih belum dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE
















