Kenderaan yang dipercayai membawa ahli keluarga keluar selepas melawat Najib yang menjalani baki hukuman penjara di rumah, di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

Najib dipercayai terima kunjungan keluarga hari pertama tahanan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai menerima kunjungan ahli keluarga di kediamannya di Langgak Duta, di sini pada hari pertama menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Granace dipercayai membawa ahli keluarga Najib tiba di kediaman berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Lawatan itu didapati berlangsung sekitar 30 minit sebelum kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan pekarangan rumah tersebut pada pukul 1.35 petang.

Sementara itu, seramai 15 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ditugaskan mengawal kediaman bekas Ahli Parlimen Pekan itu sejak semalam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penugasan anggota berkenaan bertujuan memastikan keadaan di sekitar kediaman itu sentiasa terkawal.

Menurutnya, kawalan keselamatan dilaksanakan sepanjang 24 jam menerusi penugasan seorang penyelia bersama tiga hingga empat anggota polis secara bergilir-gilir.

“Selain itu, pihak polis turut menasihatkan penyokong Datuk Seri Najib supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak berhimpun atau berkumpul di hadapan kediaman berkenaan.

“Ini kerana tindakan berkumpul boleh menyebabkan keadaan tidak terkawal, sekali gus berisiko menjejaskan pelaksanaan perintah tahanan rumah yang tertakluk kepada syarat tertentu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tindakan penyokong yang tidak terkawal sehingga memasuki kawasan kediaman yang telah diwartakan sebagai penjara boleh menyebabkan perintah tahanan rumah berkenaan terbatal.

Mengulas prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan, katanya, perimeter dalam kediaman adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara manakala kawasan luar dikawal pihak polis.

“Kita berharap semua pihak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan mematuhi arahan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu tugas anggota keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Najib tiba di kediamannya di Taman Duta pada pukul 9.27 malam bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibawa menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak dengan diiringi beberapa kenderaan Jabatan Penjara serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN