PETALING JAYA – Paras air Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya, Selangor merekodkan bacaan melebihi tahap bahaya pagi ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap risiko banjir di kawasan berhampiran.
Berdasarkan maklumat terkini menerusi laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai berkenaan mencatatkan bacaan 18.11 meter (m) setakat pukul 9 pagi tadi.
Bacaan itu melebihi paras bahaya yang ditetapkan pada 17.4m dengan perbezaan sebanyak 0.71m, namun menunjukkan trend menurun.
Pada masa sama, beberapa sungai lain di Selangor turut merekodkan bacaan melebihi paras amaran dan waspada.
Antaranya Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam yang mencatatkan bacaan 2.26m, iaitu 0.26m melebihi paras amaran 2m.
Sementara itu, Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang merekodkan bacaan 3.91m berbanding paras waspada 3.8m, manakala Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang mencatatkan bacaan 2.71m berbanding paras waspada 2.6m.
Turut melepasi paras waspada ialah Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor dengan bacaan 3.59m, Sungai Selangor di Kampung Asahan (3.27m) serta Sungai Selangor di Kampung Lubuk Jaya (1.78m).
Bagaimanapun, kesemua stesen berkenaan menunjukkan trend penurunan paras air setakat pukul 9.15 pagi.
Sementara itu, di Kuala Lumpur, Sungai Batu di Empangan Batu, Gombak merekodkan bacaan 103.49m, iaitu 0.39m melebihi paras waspada, manakala Sungai Klang di Lembah Keramat mencatatkan bacaan 45.27m. – KOSMO! ONLINE
















