LONDON – Universiti Oxford secara rasmi memulangkan sisa tinggalan rangka milik 39 individu daripada komuniti Naga yang diambil ketika era pemerintahan kolonial British di India, lapor stesen penyiaran BBC.
Satu majlis penyerahan bersejarah telah diadakan di Muzium Pitt Rivers, Oxford baru-baru ini, yang dihadiri seramai 30 orang wakil delegasi dari Nagaland, sebuah negeri bergunung-ganang yang terletak di timur laut India.
Sebahagian besar sisa tinggalan yang berbentuk tengkorak itu akan dibawa pulang ke tanah air untuk diberikan ‘pengebumian yang penuh penghormatan’ oleh pemimpin suku Naga.Â
Pihak berkuasa tempatan merancang untuk mengebumikan sisa rangka berkenaan di bawah satu tugu peringatan khas di sebuah taman di Nagaland.
Pengarah Muzium Pitt Rivers, Laura Van Broekhoven menyifatkan penyerahan itu sebagai satu detik penting yang bakal menjadi warisan cerita buat generasi akan datang.
“Sisa tinggalan ini akhirnya dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas terpaksa berdepan dan mengatasi pelbagai kerenah birokrasi yang rumit,” katanya. – AGENSI
















