CYBERJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatat sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatatkan kutipan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri ‘H’ sebanyak RM91.2 juta.
Pengiktirafan itu dibuat MBOR menerusi kategori Highest Cumulative Bid Value for a Vehicle Registration Number Series yang mengiktiraf nilai bidaan terkumpul tertinggi bagi siri nombor pendaftaran kenderaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly berkata,
pencapaian tersebut membuktikan keupayaan jabatan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi menerusi platform digital yang cekap dan telus.
Menurut beliau, kejayaan itu dicapai hasil bidaan selama lima hari yang melibatkan penyertaan seramai 34,664 pembida dengan 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida.
“Angka ini bukan sekadar mencerminkan sambutan luar biasa masyarakat, tetapi turut membuktikan keupayaan JPJ melaksanakan inisiatif berimpak tinggi melalui platform digital yang cekap dan telus.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu rekod untuk dibanggakan, tetapi lambang keupayaan warga JPJ menterjemahkan sebuah idea kepada kejayaan yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kejayaan NPI Siri ‘H’ di sini hari ini.
Aedy berkata, nombor pendaftaran H1 turut mencatatkan bidaan tertinggi apabila merekodkan nilai sebanyak RM10.77 juta.
“Perkara paling membanggakan bukan semata-mata jumlah kutipan RM91.2 juta yang dijana, sebaliknya bagaimana hasil tersebut dapat dikembalikan kepada rakyat.
“Melalui hasil NPI Siri ‘H’, kerajaan telah menyalurkan Bantuan Khas Kewangan RM1,000 secara one-off kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara.
“Bagi sesetengah pihak, RM1,000 mungkin dilihat sebagai jumlah yang sederhana. Tetapi bagi mereka yang menerima, bantuan ini cukup bermakna untuk meringankan beban kehidupan dan keperluan keluarga,” katanya.
Untuk maklumat, NPI Siri ‘H’ dilancarkan pada 14 September lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, sempena sambutan Hari Malaysia 2026. – KOSMO! ONLINE
















