Program Cahaya Deepavali di Puchong, Selangor baru-baru ini memberi peluang anak-anak muda mempraktik budaya kian dilupakan dalam sambutan Deepavali antaranya mengunjungi rumah ke rumah sambil membawa pelita. – FARIZ RUSADIO

Cahaya Deepavali inisiatif kekalkan budaya lama perayaan dalam diri generasi muda India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM kemeriahan komuniti yang berkumpul untuk menjayakan program Deepavali, semangat pemuda itu berkobar-kobar untuk bersama rakan-rakan meraikan sambutan perayaan tahunan itu.

Mengenakan pakaian tradisi masyarakat India, dia juga tidak sabar untuk menjalankan tugas bermain alat muzik buat pasukannya menyanyikan lagu keagamaan di rumah yang dikunjungi.

Bagi M.Sarviyn, 22, sambutan Deepavali bukan sekadar perayaan tahunan tetapi merupakan sebahagian daripada jiwanya yang penuh dengan jati diri sebagai masyarakat India.

“Komuniti kami mempunyai aktiviti tahunan yang diadakan bagi meraikan sambutan Deepavali dengan melibatkan generasi muda untuk turut serta membawa budaya masyarakat India.

“Menerusi program ini, saya belajar banyak perkara terutama tentang budaya, seni, agama serta merasai nostalgia perayaan Deepavali generasi terdahulu,” katanya ketika ditemu bual K-Remaja di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, menerusi program tersebut dia melihat Deepavali dari perspektif berbeza dan bukan sekadar perayaan yang disambut dengan cahaya pelita, pakaian baharu dan hidangan tradisional.

SARVYN (kiri) berperanan memainkan alat muzik tradisional di rumah-rumah yang dikunjungi dalam sambutan Deepavali.

Namun, sebaliknya membawa makna lebih mendalam mengenai kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan serta cahaya mengatasi kegelapan.

Hal sama turut dirasai oleh adik beradik, S. Bhavithran, 34, dan S.Shatish, 30 yang sejak kecil telah diterapkan nilai keagamaan dan budaya oleh ibu bapa mereka.

Menjadi antara golongan belia terawal menyertai program sambutan komuniti itu, mereka berasa sambutan perayaan boleh menjadi lebih daripada acara tahunan apabila dimanfaatkan sebagai wadah pendidikan budaya, pembentukan jati diri dan pengukuhan hubungan masyarakat.

“Program sambutan Deepavali bukan sekadar menerangi suasana, tetapi turut melambangkan usaha memastikan warisan, nilai dan kenangan perayaan terus bersinar dalam kehidupan generasi akan datang.

“Di sebalik kemeriahannya, perayaan itu turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, menyemai nilai kasih sayang dan mengukuhkan ikatan masyarakat,” kata mereka.

Bagaimanapun, mereka juga mengakui perubahan gaya hidup dan peredaran zaman sedikit sebanyak mempengaruhi cara generasi muda menghayati sambutan perayaan berkenaan.

Kesibukan kehidupan moden, pengaruh teknologi serta perubahan corak interaksi sosial menyebabkan sesetengah tradisi yang pernah menjadi sebahagian daripada pengalaman menyambut Deepavali semakin jarang dilakukan.

Kanak-kanak membawa pelita ketika berkunjung rumah
ke rumah.

Justeru, usaha menghidupkan kembali amalan dan tradisi lama menjadi penting bagi memastikan warisan kebudayaan masyarakat India tidak sekadar dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah, sebaliknya terus diamalkan dan diwarisi oleh generasi seterusnya.

Inisiatif sambutan Deepavali yang dimaksudkan oleh ketiga-tiga pemuda itu ialah Program Cahaya Deepavali anjuran Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan India Malaysia (PKKIM).

Program tersebut telah dilaksanakan selama 18 tahun berturut-turut di sekitar Lembah Klang sebagai usaha menyemarakkan sambutan perayaan berkenaan menerusi pendekatan kebudayaan dan kemasyarakatan.

Menurut pengasas dan pengerusi PKKIM, Bharathi Balakrishnan, program itu melibatkan komuniti dengan anak-anak muda turut didedahkan dengan tradisi serta budaya perayaan Deepavali yang diwarisi zaman-berzaman meliputi alat muzik, lagu-lagu perayaan, amalan dan sebagainya sekali gus memelihara warisan dan mengukuhkan jati diri mereka.

Jelasnya, anak muda khususnya murid-murid yang mengikuti kelas agama di bawah Thirunavugarasar Thevaram Group diberikan peluang merasai sendiri pengalaman menyambut Deepavali melalui aktiviti yang berasaskan tradisi masyarakat India.

“Tidak seperti sambutan yang hanya tertumpu kepada majlis keramaian atau perhimpunan di satu lokasi, Cahaya Deepavali menghidupkan kembali amalan kunjungan dari rumah ke rumah yang pernah menjadi antara pengalaman bermakna ketika musim perayaan.

“Menerusi aktiviti tersebut, setiap murid membawa pelita sambil menyanyikan lagu-lagu perayaan sebelum mengunjungi kediaman masyarakat setempat. Suasana itu bukan sahaja mewujudkan kemeriahan, malah memberi peluang kepada kanak-kanak dan golongan muda merasai tradisi Deepavali diraikan dalam kehidupan bermasyarakat di kawasan estet zaman dahulu,” ujarnya.

BHARATHI (kanan) berharap program Cahaya Deepavali tersebut dapat memelihara warisan dan memperkukuh jati diri generasi muda India.

Katanya lagi, pengalaman membawa pelita dan mengunjungi rumah ke rumah mempunyai nilai tersendiri kerana murid bukan sekadar menjadi peserta, sebaliknya terlibat secara langsung dalam menghidupkan suasana perayaan.

Mereka dapat mengenali amalan terdahulu yang mungkin tidak lagi menjadi kebiasaan dalam kehidupan generasi hari ini.

Dalam konteks pemeliharaan budaya, pengalaman seperti itu penting kerana warisan tidak cukup sekadar dipelajari melalui buku atau diceritakan oleh orang lebih tua. Sebaliknya, generasi muda perlu diberikan peluang untuk merasai, mempraktikkan dan memahami sendiri nilai di sebalik sesuatu amalan.

“Cahaya Deepavali juga membawa misi lebih besar dalam mengukuhkan jati diri dan identiti budaya masyarakat India, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membentuk pemahaman mengenai asal usul, tradisi serta warisan keluarga mereka.

“Hal ini kerana pengenalan terhadap budaya sendiri merupakan asas penting dalam membina keyakinan diri dan rasa bangga terhadap identiti sesuatu bangsa,” tambah Bharathi.

Jelasnya, tanpa pendedahan yang berterusan, generasi muda berisiko mengenali perayaan hanya melalui aspek luaran seperti pakaian, makanan dan hiasan tanpa memahami nilai serta sejarah yang terkandung di sebaliknya.

Melalui penglibatan dalam aktiviti kebudayaan, murid berpeluang mempelajari makna Deepavali, tradisi masyarakat India serta kepentingan mengekalkan amalan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Selain kunjungan dari rumah ke rumah, program berkenaan turut memberikan pendedahan kepada penggunaan alat muzik tradisional dan lagu-lagu perayaan.

Kemeriahan Deepavali yang menyatukan masyarakat India pelbagai generasi.

Kata Bharathi, elemen seni tersebut menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan warisan masyarakat India kepada generasi muda agar tidak terpinggir akibat perubahan cita rasa dan pengaruh budaya semasa.

“Pengenalan alat muzik tradisional bukan sekadar bertujuan memberikan pengetahuan mengenai bentuk atau bunyinya, malah membuka ruang kepada murid untuk mempelajari cara penggunaan serta memahami peranannya dalam seni dan kebudayaan masyarakat.

“Begitu juga dengan lagu-lagu perayaan yang mempunyai nilai sentimental kerana melodi dan iramanya sering mengingatkan seseorang kepada suasana Deepavali ketika zaman kanak-kanak,” kongsinya.

Ujarnya lagi, bagi generasi lebih berusia, lagu berkenaan mungkin membawa kembali kenangan kunjungan saudara-mara, suasana rumah yang meriah serta kemesraan jiran tetangga ketika musim perayaan.

Kenangan seperti itu wajar diperkenalkan semula kepada golongan muda supaya mereka turut mempunyai pengalaman tersendiri untuk dikenang apabila dewasa kelak. Ini kerana, memori perayaan bukan hanya terbentuk melalui hadiah atau kemeriahan sambutan, tetapi juga pengalaman melakukan sesuatu bersama keluarga dan masyarakat.
Dalam kehidupan hari ini, apabila interaksi semakin banyak berlangsung melalui peranti digital, aktiviti yang memerlukan pertemuan dan komunikasi secara bersemuka mempunyai kepentingan tersendiri.

Program seperti Cahaya Deepavali menyediakan ruang untuk kanak-kanak berinteraksi dengan masyarakat, mengenali jiran serta membina hubungan yang lebih rapat di luar lingkungan keluarga.
Malah, aktiviti kunjungan rumah ke rumah turut membantu meningkatkan keyakinan diri murid apabila mereka berpeluang berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu pelbagai peringkat usia.
Pengalaman itu secara tidak langsung melatih mereka mengamalkan kesopanan, menghormati orang lain dan membina kemahiran sosial.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN