WASHINGTON – Lembaga pengarah gergasi pembuatan cip, Nvidia kelmarin mengumumkan pihaknya memulakan siasatan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) dan pengasas bersama, Jensen Huang selepas beliau mengaku mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang didakwa oleh pegawai Amerika Syarikat (AS) bekerja untuk perisikan China.
Akhir bulan lalu, The New York Times melaporkan bahawa pegawai agensi perisikan AS merumuskan wanita terbabit sebagai seorang eksekutif China yang dikaitkan dengan syarikat pusat data berpangkalan di Singapura bernama Megaspeed yang telah menyalurkan maklumat kepada Beijing.
Eksekutif kelahiran Taiwan, Alice Huang, juga dikenali sebagai Huang Le telah menjalin hubungan rapat dengan bos Nvidia berusia 63 tahun itu, lapor New York Times.
Dalam mesej kepada kakitangan syarikat yang dikeluarkan kelmarin, Huang mengakui menjalin hubungan sulit dan memohon maaf kepada keluarga serta kakitangan syarikatnya.
“Saya telah curang kepada isteri saya.
“Tindakan saya telah melukakan hati beliau dan anak-anak kami. Tiada alasan bagi apa yang telah saya lakukan. Saya memohon maaf sepenuh hati,” katanya
Apabila ditanya mengenai laporan itu kelmarin, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyatakan bahawa beliau tidak dapat mengulas, sambil menyifatkannya sebagai ‘isu dalaman korporat’.
Huang merupakan tokoh penting dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) dan rapat dengan Presiden Donald Trump, yang telah berulang kali bersuara menentang industri itu dikawal selia supaya China tidak mendahului dalam persaingan AI. – AFP
















