Robot berbentuk rama-rama itu menggunakan sistem peredaran cecair atau ‘darah’ buatan.

Robot rama-rama cipta sensor baharu sendiri guna darahnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAJUAN teknologi robotik kini memasuki fasa baharu apabila sekumpulan saintis berjaya mencipta robot menyerupai rama-rama yang berupaya menghasilkan sendiri sensor baharu menggunakan sistem peredaran cecair buatan pada tubuhnya dengan bantuan cahaya ultraungu (UV).

Penemuan itu membuka perspektif baharu dalam pembangunan robot pintar yang bukan sekadar bergantung kepada sensor yang dipasang sejak proses pembuatannya, sebaliknya mampu menghasilkan komponen atau sensor baharu berdasarkan keadaan persekitaran.

Teknologi berkenaan dilihat penting kerana membuka peluang kepada pembangunan robot yang mampu menyesuaikan keupayaan fizikalnya ketika beroperasi di kawasan berbahaya termasuk bangunan runtuh, dasar laut bahkan planet lain pada masa akan datang.

Menurut penyelidikan yang diketuai Universiti Tartu, Estonia dengan kerjasama Institut Teknologi Itali itu, mereka menggunakan inspirasi daripada sistem peredaran darah serangga khususnya rama-rama daripada spesies Catocala fraxini atau blue underwing.

Penemuan teknologi ini membolehkan kelak robot ‘berdikari’ sendiri ketika ditugaskan di tempat berbahaya seperti dasar laut, runtuhan bangunan mahupun planet lain.

Penyelidik utama, Kadri-Ann Pankratov berkata, dalam sistem biologi serangga, cecair dikenali sebagai hemolimfa berfungsi mengangkut darah ke seluruh bahagian tubuh.

“Berpandukan mekanisme itu, penyelidik membangunkan robot dengan rangkaian saluran menyerupai urat pada sayap yang membolehkan cecair mengandungi bahan kimia buatan dialirkan ke seluruh struktur badan.

“Robot berkenaan dihasilkan menggunakan teknologi pencetakan tiga dimensi dengan bahan plastik lutsinar polyethylene terephthalate glycol (PETG),” katanya.

Tambahnya, struktur kedua-dua sayapnya dilengkapi saluran kecil yang berfungsi sebagai sistem peredaran cecair buatan bagi mengangkut campuran kimia dikenali sebagai hemolimfa buatan.

Campuran tersebut mengandungi pyrrole bahan pemula tindak balas yang diaktifkan cahaya serta bahan tambahan berasaskan selulosa.

Teknologi robot tersebut meniru sistem peredaran darah pada sayap rama-rama Catocala fraxini.

Menariknya, apabila bahagian tertentu robot terdedah kepada cahaya UV selama kira-kira seminit, tindak balas kimia akan berlaku dan menukarkan pyrrole kepada polypyrrole iaitu bahan polimer yang boleh mengalirkan elektrik.

Kongsinya lagi, proses itu menghasilkan kawasan berwarna hitam pada struktur plastik yang sebelum ini lutsinar sekali gus menandakan pembentukan sensor baharu.

“Sensor itu kemudian membolehkan robot bertindak balas terhadap rangsangan cahaya dengan menggerakkan sayap atau menyalakan lampu LED melalui sistem kawalan mikrokomputer.

“Keupayaan itu dianggap signifikan kerana robot berkenaan pada asalnya tidak mempunyai fungsi mengesan cahaya UV sebelum sensor tersebut terbentuk melalui tindak balas kimia,” ujarnya.

Pankratov menjelaskan bahawa pendekatan tersebut berpotensi membolehkan robot menghasilkan perkakasan yang diperlukan secara langsung di lokasi operasi tanpa perlu kembali ke makmal untuk pemasangan komponen tambahan.

Malah, penyelidikan itu turut menemukan bahawa sensitiviti sensor meningkat apabila berulang kali terdedah kepada cahaya UV. Fenomena tersebut dipercayai berkaitan dengan pembentukan struktur polimer tambahan yang mengubah sifat elektrik sensor.

“Bagaimanapun, teknologi itu masih berada pada peringkat pembuktian konsep.

“Proses pembentukan sensor masih bergantung kepada tindak balas kimia yang telah ditentukan penyelidik dan tidak boleh diterbalikkan buat masa ini,” tambahnya.

Kajian bertajuk Receptogenesis in a Vascularized Robotic Embodiment yang diterbitkan dalam jurnal Advanced Science itu memperlihatkan potensi besar teknologi robotik berasaskan sistem peredaran cecair atau bahan kimia buatan.

Pada masa hadapan, pendekatan sama juga berpotensi digunakan untuk menghasilkan bahan perlindungan kakisan, perisai elektromagnetik serta komponen yang boleh berinteraksi dengan tisu hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN