PERKEMBANGAN pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital di Malaysia membuka peluang besar kepada penyedia teknologi global untuk memperluas penyelesaian yang lebih bersesuaian dengan keperluan perusahaan tempatan.
Melihat potensi berkenaan, WPS, penyedia platform pejabat berasaskan AI, menjadikan Malaysia antara pasaran strategik dalam usaha memperkukuh kehadirannya di Asia
Tenggara menerusi penyelesaian digital, sokongan tempatan dan pembangunan bakat AI.
Timbalan Presiden Kingsoft Office, Liu Xu berkata, Malaysia bukan sahaja penting dari segi potensi pasaran, malah menjadi antara lokasi utama untuk mengembangkan penggunaan teknologi AI serta penyelesaian digital dalam kalangan perusahaan tempatan.
Menurutnya, strategi WPS berteraskan tiga aspek utama iaitu AI, kolaborasi dan pengantarabangsaan yang dilihat selari dengan kedudukan Malaysia sebagai negara berbilang bahasa serta mempunyai hubungan perdagangan yang kukuh dengan pelbagai pasaran.
“Malaysia sangat penting kepada kami kerana mempunyai hala tuju yang jelas dalam penggunaan AI, selain sokongan kerajaan terhadap pendigitalan perniagaan dan penerapan teknologi tersebut.
“Dalam aspek kolaborasi pula, masyarakat Malaysia menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, sekali gus memerlukan penyelesaian yang mampu menyokong kerjasama merentas bahasa dan lokasi,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Makmal AI & Pusat Inovasi Huawei, The Exchange 106, TRX, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas WPS memeterai kerjasama dengan beberapa rakan kongsi tempatan antaranya Systech Digital Solutions, Protonsonic Global Digital dan Advisiirs Plus Sdn. Bhd. bagi memperluas penggunaan penyelesaian WPS 365 di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Perniagaan Komersial Global Kingsoft Office, Biwei Michael Qi berkata, WPS komited menyediakan sokongan secara langsung di Malaysia dan tidak bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan dari luar negara.

WPS yang berpangkalan di China itu turut mempunyai kira-kira 20 anggota pasukan sokongan pelanggan di Malaysia, selain menyediakan latihan tempatan dan khidmat sokongan kepada rakan-rakan kongsi.
Michael memberitahu, kerjasama berkenaan turut membolehkan WPS menyesuaikan produk mengikut keperluan tempatan selain membangunkan penyelesaian AI yang boleh digunakan merentasi bahasa, wilayah dan sektor perniagaan.
“Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, pelanggan boleh menjangkakan perkembangan lebih besar dalam teknologi AI pejabat dan AI berasaskan ejen (agentic AI).
“Teknologi AI pejabat membantu tugasan harian seperti membaca, menulis dan menerangkan kandungan dalam dokumen serta pembentangan, manakala agentic AI pula berupaya mencari maklumat yang tersebar dalam dokumen dan peranti sebelum melaksanakan tugasan berdasarkan arahan pengguna.
“WPS tidak membangunkan model bahasa besar (LLM) sendiri, sebaliknya menggunakan model seperti DeepSeek dan GLM dengan fokus diberikan kepada pembangunan aplikasi serta ejen AI yang memahami konteks kerja pengguna,” katanya.
WPS turut menyasarkan PKS sebagai antara segmen utama di Malaysia, khususnya kerana golongan tersebut lebih sensitif terhadap kos dan memerlukan penyelesaian digital yang mudah digunakan, fleksibel serta menawarkan ciri keselamatan data.
Kelebihan WPS terletak pada keupayaan menghimpunkan dokumen, maklumat dan pengetahuan organisasi dalam satu ekosistem bagi membolehkan ejen AI memberikan bantuan berdasarkan konteks kerja sebenar pengguna.
Pendekatan menggabungkan aplikasi pejabat, e-mel, PDF, kalendar dan fungsi kolaborasi dalam satu platform juga dapat membantu PKS mengurangkan kebergantungan terhadap pelbagai aplikasi berasingan.
Dalam jangka panjang, WPS menyasarkan Malaysia sebagai salah satu pangkalan penting bagi pengembangan penyelesaian AI dan pejabat digital ke pasaran Asia Tenggara.
















