PETALING JAYA – Tindakan segelintir pelanggan yang didakwa menyalahgunakan sistem pemulangan barang atau refund di platform beli-belah dalam talian semakin membimbangkan apabila ada yang dipercayai memulangkan bungkusan berisi plastik kosong atau barangan lain.
Isu tersebut kembali menjadi perhatian selepas satu perkongsian di Threads yang mendedahkan pengalaman seorang penghantar barang berhubung taktik mencurigakan itu.
Menerusi perkongsian berkenaan, tindakan segelintir pembeli yang mengambil kesempatan menggunakan kemudahan refund bukan sahaja merugikan peniaga, malah turut menyusahkan penghantar barang yang terpaksa menguruskan proses pemulangan bungkusan.
Perkongsian itu turut memaparkan video seorang peniaga kek lapis yang menunjukkan bungkusan dipulangkan kepadanya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penyalahgunaan kemudahan berkenaan.
Lebih menyedihkan, seorang pengguna Threads yang berkongsi semula hantaran itu meluahkan rasa simpati terhadap peniaga terbabit yang didakwa terpaksa berdepan situasi sedemikian.
“Apa salah dia, sebagai penjual dia tidak perlu tanggung rugi. Tolong la jadi pembeli yang bertanggungjawab,” kata seorang pengguna.
“Rasanya tak kaya pun kamu buat macam ni, ditambah pula kalau barangan itu adalah makanan. Tiada satu keberkatan pun kalau buat begini,” jelas seorang lagi pengguna.
Isu berkenaan mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pembeli sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang disediakan platform e-dagang.
Sistem refund yang ditawarkan platform seperti TikTok Shop, Shopee dan Lazada pada asasnya bertujuan melindungi hak pengguna sekiranya berlaku masalah terhadap pesanan.
Bagaimanapun, kemudahan itu seharusnya tidak disalahgunakan kerana tindakan tidak beretika bukan sahaja boleh menyebabkan peniaga mengalami kerugian, malah menjejaskan rantaian penghantaran serta kepercayaan dalam urusan jual beli dalam talian.- KOSMO! ONLINE
View on Threads
















