Tangkap layar video yang dimuat naik Nazif Najib di Facebooknya memaparkan kenangan yang dirakam sewaktu Allahyarham masih hidup.

Bonda pergi terlalu awal, kami tidak sempat balas segala pengorbanan – Nazif Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Penyesalan terbesar di hati ini adalah tidak sempat membalas semua yang telah bonda berikan.”

Demikian luahan penuh sebak anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin ketika mengenang pemergian ibunya yang juga bekas isteri Najib.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Nazifuddin menzahirkan rasa terkilan kerana tidak berkesempatan memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada ibunya, meskipun wanita itu telah banyak berkorban demi membesarkan anak-anak.

Menurutnya, sepanjang kehidupan mereka, Allahyarham ibunya bukan sahaja memainkan peranan sebagai seorang ibu, malah menjadi figura bapa yang sentiasa memastikan segala keperluan anak-anak dipenuhi.

“Ketika kami memerlukan segalanya, bonda menjadi ibu dan juga ayah. Saat bonda sendiri serba kekurangan, bonda lakukan apa sahaja demi kami, anak-anakmu.

“Bonda berkorban agar kami dapat menjalani kehidupan ini, membina keluarga sendiri dan melangkah di jalan yang kami ingini,” luahnya.

Nazifuddin turut menyentuh mengenai kehidupan yang tidak sempat dinikmati ibunya, termasuk peluang menjadi isteri kepada seorang individu yang memegang jawatan penting dalam negara.

Katanya, biarpun ibunya tidak memperoleh kehidupan yang sepatutnya, wanita itu tetap memberikan yang terbaik kepada anak-anak walaupun berdepan pelbagai dugaan.

“Bonda tidak sempat menjadi isteri kepada seseorang yang amat penting buat negara. Bonda tidak mendapat kehidupan yang sepatutnya menjadi milik bonda.

“Akan tetapi, orang lain pula mengharapkan lebih daripada bonda. Namun bagi kami, bonda telah persembahkan yang terbaik. Bonda mendidik kami untuk mengenal salah dan benar, dan tidak pernah berhenti menyayangi kami, walau untuk sesaat,” katanya.

Dalam pada itu, Nazifuddin berkata, antara impian ibunya yang tidak sempat direalisasikan adalah memiliki rumah sendiri yang terletak berhampiran anak-anak tersayang.

Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila ibunya terlebih dahulu dijemput Ilahi.

“Bonda pernah mengimpikan rumah sendiri, dekat dengan anak-anak yang bonda sayangi. Namun, bonda pergi terlalu awal.

“Apa yang tidak sempat kami berikan di dunia ini, dipanjatkan doa agar Allah menggantikannya dengan sesuatu yang jauh lebih indah di sana. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi bonda dan semoga di syurga nanti segala curahan kasih sayang akan bonda nikmati,” katanya.

Mengakhiri luahan itu, Nazifuddin mendoakan agar ibunya ditempatkan dalam syurga Firdaus serta dikurniakan ganjaran atas segala kasih sayang dan pengorbanan sepanjang hayat.

“Semoga Bonda ditempatkan setinggi tempat syurga firdausi bersama insan-insan yang berhati mulia seperti bonda, kaya dengan kasih di dunia dan kaya dengan ganjaran di akhirat.

“Semoga Allah merahmati bonda sentiasa. Kami akan sentiasa merindui bonda. Bonda tersayang, Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar meninggal dunia pada 5 November lalu selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Gleneagles Ampang.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi hantaran Facebook rasmi Najib yang turut menyatakan bekas Perdana Menteri Keenam itu tidak dapat bersama keluarga pada saat menyedihkan berkenaan.

Tengku Puteri Zainah merupakan isteri pertama Najib sebelum pasangan itu berpisah dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamad Nizar, Mohd. Nazifuddin dan Puteri Norlisa.

Najib kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Rosmah Mansor pada 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN