UJI bersama Cico semasa satu sesi fotografi tiga tahun lalu. - GAMBAR FILE

Dia dah takda – Uji Rashid tangisi pemergian Cico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU KLANG – Ibu mana yang mampu menahan tangis saat berdepan kematian anak sendiri. Kepiluan dahsyat begitulah yang dirasai seniwati juga penyanyi legenda, Uji Rashid ketika ini saat harus menerima takdir apabila putera kesayanganya, Cico Harahap telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi meninggalkan dirinya.

“Dia (Cico) dah takda.”

Itu luahan pilu bintang veteran, Uji Rashid sambil menangis kepada rakannya, Datin Norizan Yeob, sebaik jenazah Allahyarham Cico Harahap, dibawa ke bilik jenazah di Surau Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa di sini, sekitar pukul 4 petang tadi.

Uji kemudian dilihat dipeluk Norizan, iaitu balu komposer, Allahyarham Datuk S Atan, bagi menenangkannya.

Norizan yang ditemui berkata, Uji tampak tabah di luar, namun, hakikatnya hatinya rapuh dalam menghadapi kehilangan anak lelaki kesayangannya itu.

Jenazah Allahyarham Cico tiba dari Hospital Ampang di surau berkenaan dan disambut beberapa rakan artis. Antara mereka adalah AR Badul, Aziz M Osman, Rozita Rohaizad dan Mak Jah.

Allahyarham Cico atau nama sebenar, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 48, dilapor meninggal dunia di Hospital Ampang, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Allahyarham Cico dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu akibat mengalami kesukaran bernafas.

Allahyarham Cico pada awalnya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), sebelum dipindahkan ke wad biasa, Khamis lalu.

Jenazah Allahyarham Cico dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiusaha Agung, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham Cico menyumbang bakat dan tenaga kreatif dalam membangunkan industri perfileman tempatan sejak awal 1990-an.

“Allahyarham Cico mula menceburi dunia lakonan pada 1993 melalui filem Kekasih Awal dan Akhir. Selepas itu, arwah makin dikenali menerusi drama bersiri Puteri Impian pada akhir 1990-an.

“Sepanjang pembabitan dalam industri hiburan, Allahyarham Cico membintangi beberapa karya layar perak termasuk filem Anak Mami dan Anak Mami Telah Kembali. Ini memperlihatkan pembabitan arwah dalam perkembangan industri perfileman tempatan.

“Selain itu, arwah Cico mencipta pengalaman dalam bidang lakonan menerusi beberapa produksi lain termasuk filem Operation Mekong pada 2016,” katanya dalam kenyataan.

Hafiz berkata, kepimpinan tertinggi dan barisan exco SENIMAN mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan mendoakan agar Allahyarham Cico ditempatkan di syurga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN