JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang percaya beberapa ‘pendatang’ baharu dalam sukan itu mampu memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba sedia ada, terutamanya menerusi acara pecut.
Perkara itu terbukti apabila pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman tewas kepada atlet muda Great Britain, Harry Ledingham-Horn di pusingan kalah mati pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 bulan lalu.
Bagaimanapun, Azizulhasni tidak begitu risau dengan keputusan itu memandangkan dia mengharungi banyak kejohanan berturut-turut sepanjang saingan musim ini, sekali gus membataskan kayuhan sebenar.
Justeru, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sedia untuk membuat penilaian mengenai sejauh mana kemampuan dimiliki pada saingan musim depan yang dijangka tidak terlalu padat buat dirinya.
“Dia (Ledingham-Horn) merupakan antara pendatang baharu yang memiliki potensi cukup besar. Sebenarnya, memang ramai pendatang baharu dalam acara pecut, tetapi saya tidak risau kerana kita mengharungi musim yang sibuk.
“Diharapkan pada saingan musim depan, saya dapat betul-betul fokus dan nak tengok di mana kemampuan saya tanpa ada jadual yang padat. Tahun ini banyak kejohanan yang berturut-turut,” katanya.
Sepanjang saingan musim ini, Azizulhasni masih membuktikan dia masih merupakan pelumba berkelas dunia walaupun usia sudah menginjak 38 tahun apabila merangkul pingat emas acara keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow.
Selain itu, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara keirin bagi siri Piala Dunia 2026 selepas memenangi pingat emas pada saingan di Perth, Australia dan Nilai, Negeri Sembilan.
















