Pelbagai beg berjenama yang ditawarkan termasuk Prada, LV dan Gucci dijual di Heida Natasha Monarchy di Puchong.

Jual tujuh beg Coach untuk langsai bil elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Seorang usahawan barangan preloved mendedahkan terdapat sebahagian pemilik beg tangan berjenama terpaksa menjual kembali produk berharga itu demi kelangsungan hidup dan menampung rawatan kesihatan ketika berdepan masalah kewangan.

Pengasas Hieda Natasha Monarchy, Hieda Natasha berkata, detik paling menyedihkan apabila ada pelanggan merayu supaya begnya dinilai segera dengan dinaikkan harga bagi mendapatkan wang segera untuk pembedahan anak yang menghidap kanser Jumaat lalu.

Hieda Natasha membina sebuah platform untuk memudahkan pemilik beg berjenama menjual barangan mereka ketika terdesak mendapatkan wang.

Bekas pramugari itu berkata, ada pula pelanggan menjual tujuh beg Coach tulen semata-mata mahu melunaskan bil elektrik rumahnya yang tertunggak.

“Dia perlu RM2,100 sedangkan nilai beg itu hanya lebih RM1,000. Mana yang boleh kita bantu, kita tolong kerana kita tidak tahu apa yang seseorang itu sedang lalui.

“Sebab itu saya memulakan perniagaan beg preloved ini sejak tiga tahun lalu selepas menyedari ramai pemilik beg berjenama tidak mempunyai tempat untuk menjual semula barangan mereka apabila terdesak memerlukan wang,” katanya.

Beliau ditemui sempena Hieda Natasha Monarchy 11.11 Preloved Bag Festival 2026 di Taman Putra Perdana di sini yang bermula semalam hingga 11 November ini.

Acara itu turut menawarkan 40 pakej umrah kepada pelanggan bertuah selain lima hadiah jongkong emas.

Menurut Hieda Natasha, platform yang dibina menyediakan perkhidmatan membeli semula, konsainan dan baik pulih beg.

“Saya menjadi pramugari selama 11 tahun sebelum beralih kepada personal shopper kepada mereka yang mahukan barangan dari Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perjalanan membina perniagaan bukan mudah, malah pengalaman ditipu dan pelbagai cabaran menjadikannya lebih matang dalam menguruskan industri yang memerlukan kepercayaan tinggi.

Katanya, setiap beg yang diterima perlu melalui proses pengesahan ketulenan, manakala pelanggan diberikan jaminan pulangan wang penuh sekiranya barangan terbukti tidak asli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN