ASUNCION – Senat Paraguay mendakwa Presiden Santiago Pena susulan krisis perbankan yang menyebabkan berjuta-juta penduduk kehilangan akses simpanan mereka semalam, lapor agensi berita DW.
Ahli-ahli Senat sebulat suara mengundi untuk menyingkirkan Pena atas dakwaan salah laku semasa memegang jawatan.
Keputusan itu membuka laluan kepada Naib Presiden Paraguay, Pedro Alliana untuk menggantikan Pena. Beliau akan berkhidmat bagi baki penggal Presiden yang berakhir pada Ogos 2028.
Walaupun Pena telah meletak jawatan pada kelmarin, ahli-ahli Senat memilih untuk meneruskan proses pendakwaan dan mendapati beliau bersalah berbanding menerima perletakan jawatan tersebut.
Langkah ini membolehkan ahli-ahli Senat menarik balik keistimewaan kerusi Senat seumur hidup serta imuniti yang diberikan kepada bekas Presiden, sekali gus membolehkan beliau didakwa di mahkamah.
Berikutan pengundian Senat, pendakwa raya memerintahkan penahanan Pena bersama bekas ketua Bank Pusat Paraguay, Carlos Carvallo sebagai sebahagian daripada siasatan jenayah.
Pihak berkuasa kemudian menyatakan bahawa Pena dikenakan tahanan rumah sementara menunggu keputusan pejabat pendakwa raya mengenai pertuduhan akhir terhadapnya. – AGENSI
















