KUALA LUMPUR – Nasib keluarga rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian banjir lumpur di Nepal terbela apabila 12 daripada lebih 50 pampasan polisi insurans sudah diselesaikan dan dibayar kepada waris.
Polisi yang dikenal pasti kebanyakannya membabitkan insurans perjalanan, kemalangan diri tahunan dan kemalangan diri berkelompok.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, pihaknya sedang berusaha mempercepatkan proses tuntutan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga mangsa yang terjejas.
“Setakat ini, lebih 50 polisi insurans membabitkan rakyat Malaysia sudah dikenal pasti dan sekurang-kurangnya 12 daripadanya sudah diselesaikan serta bayaran dibuat kepada waris.
“Lebih banyak tuntutan dijangka diselesaikan minggu hadapan. Industri insurans sedang berusaha sedaya upaya mempercepatkan proses ini bagi meringankan penderitaan dan tekanan kewangan keluarga mangsa,” katanya selepas Sesi Meja Bulat Media PIAM di sini, hari ini.
Menurut Kim Soon, pihaknya berdepan cabaran antaranya kesukaran mendapatkan pengesahan status kematian rakyat Malaysia yang hilang dalam tragedi yang berlaku pada Ogos lalu.
“Cabaran paling besar adalah untuk mengesahkan sama ada individu yang masih hilang di Nepal itu sudah meninggal dunia atau sebaliknya
“Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Nepal. Saya difahamkan terdapat proses yang sedang diusahakan bagi memastikan sijil kematian dapat dikeluarkan supaya urusan berkaitan boleh diteruskan,” katanya.
Kim Soon berkata, pihak insurans turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk menghubungi waris dan ahli keluarga mangsa bagi mengenal pasti perlindungan insurans yang dimiliki.
“Usaha itu penting bagi memastikan tuntutan yang layak dapat diproses secepat mungkin tanpa menambahkan kesulitan kepada keluarga yang masih berdepan ketidaktentuan nasib insan tersayang,” katanya.
Kim Soon turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak memandang ringan kepentingan memiliki perlindungan insurans sebelum melancong ke luar negara sebagai persediaan sekiranya berdepan kejadian tidak diingini.
“Insurans perjalanan sebenarnya sangat murah. Untuk percutian tujuh hari di Asia, kos perlindungan boleh didapati pada harga kurang RM100.
“Perlindungan ini bukan sahaja menyediakan manfaat kematian, tetapi turut meliputi kos perubatan termasuk sekiranya sakit dan perlu dimasukkan ke hospital,” katanya.














