fbpx
Along Faiq menyantuni pengundi di Serkam baru-baru ini.

Along Faiq mahu tabur bakti kepada penduduk Serkam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Pengalaman menyantuni golongan memerlukan menerusi aktiviti kebajikan sejak usia muda menjadi pendorong kepada calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Faiq Azman untuk memperluas khidmat bakti kepada masyarakat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam yang lebih dikenali sebagai Along Faiq itu berkata, minatnya terhadap kerja kemasyarakatan bermula sejak di bangku sekolah rendah menerusi penglibatan aktif dalam pasukan Pengakap dan berterusan hingga selepas tamat persekolahan.

Beliau berkata, antara usaha pernah dilaksanakannya ialah membantu golongan gelandangan mendapatkan tempat perlindungan lebih sesuai, termasuk menyewa rumah bagi memastikan mereka mempunyai tempat berteduh.

“Sebenarnya, penglibatan saya dalam politik dan kerja-kerja sosial sudah lama, cuma kebanyakan aktiviti kemasyarakatan yang saya lakukan sebelum ini lebih tertumpu di luar kawasan DUN Serkam,” katanya kepada Bernama di sini.

Muhammad Faiq, 36, yang berasal dari Kampung Pulai berkata, beliau juga pernah menggerakkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan menerusi Biro Kebajikan Melaka, namun aktivitinya tidak lagi aktif selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19.

Penglibatannya dalam gerakan belia turut memberi pengalaman kepimpinan menerusi jawatan yang pernah disandangnya dalam Majlis Gabungan Belia Daerah dan Majlis Gabungan Belia Negeri.

Mengenai kempen PRN Melaka ke-16, Muhammad Faiq berkata, beliau lebih tertumpu kepada aktiviti ziarah dari kampung ke kampung bagi membolehkannya bertemu dan menyantuni lebih ramai penduduk secara bersemuka.

“Pada saya, pendekatan bersemuka lebih baik kerana penduduk mahu calon turun padang dan menyantuni mereka, walaupun ada yang sudah mengenali saya.

“Jumlah pengundi di DUN Serkam melebihi 22,000 orang dan bukan mudah untuk bertemu semua, tetapi saya akan cuba melakukan yang terbaik mengikut kemampuan,” katanya.

Mengenai tawaran kepada pengundi DUN Serkam, beliau berkata, manifesto dibawanya menggariskan lima teras utama, antaranya pembangunan usahawan muda, e-sukan serta pendidikan dan kemahiran anak asnaf.

Muhammad Faiq berkata, dua lagi teras ialah pemerkasaan ekonomi ibu tunggal serta kebajikan pekebun kecil dan nelayan, termasuk membantu golongan berkenaan mendapatkan akses kepada bantuan, peralatan serta peluang meningkatkan hasil dan pendapatan.

Calon muka baharu itu berdepan saingan tiga penjuru di DUN Serkam menentang Datuk Azman Abdullah daripada Barisan Nasional (BN) dan Muhammad Saffie Md Yasan (Parti Bersama Malaysia).

Pada PRN Melaka ke-15, calon BN Datuk Zaidi Attan menang tipis dengan majoriti 79 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang Ahmad Bilal Rahudin (Perikatan Nasional), Muhammad Kohmeni Kamal (PH) dan Norazlanshah Hazali (Bebas).

PRN Melaka ditetapkan pada 14 November ini, manakala pengundian awal 10 November. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN