IPOH – Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainuddin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman mendahului senarai 218 bakal penerima darjah kebesaran, dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-70 pada Sabtu ini.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin berkata, sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada waktu solat Jumaat esok.
“Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid-masjid daerah di seluruh negeri diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing.
“Baginda turut berkenan terhadap kebajikan banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di negeri Perak dengan membiayai hidangan makanan tengah hari pada esok kepada 8,960 bantuan,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Katanya, makanan itu melibatkan 8,960 orang banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional dan Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar dan Rumah Perantaraan Perak.
Jelasnya, mendahului senarai penerima pingat ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainuddin bakal dianugerahkan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP).
Selain itu ujarnya, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman bakal dikurniakan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
“Pada istiadat penganugerah itu juga, Akauntan Negara, Nasran Omar akan menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini yang membawa gelaran Datuk.
“Antara bakal penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, Zamakhshari Hanipah dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Lokman Abd. Rahim.
“Ketua Pegawai Eksekutif;Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Mohd.Azhar Mohd.Yusof, Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Zamri Mat Kasim,” katanya.
Sesi pertama melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran akan dilangsungkan pada 15 November sementara istiadat kedua pada 21 November ini.
Kedua-dua sesi Istiadat akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. – KOSMO! ONLINE
















