PUTRAJAYA – Sumbangan zakat korporat bernilai RM16 juta oleh McDonald’s Malaysia yang dilaksanakan sejak 2017 terus membuktikan komitmen berterusan syarikat itu dalam mewarnai kehidupan golongan asnaf, sekali gus memberi sinar harapan kepada penerima untuk menikmati kehidupan lebih baik.
Terbaharu, McDonald’s Malaysia terus memainkan peranan membantu golongan asnaf apabila menunaikan zakat sebanyak RM2 juta bagi tahun 2026, yang juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam usaha melaksanakan kewajipan agama serta menyumbang kepada kesejahteraan asnaf.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, pihaknya memulakan penyerahan zakat tahun ini bermula Julai di Kelantan, sebelum menjelajah ke negeri-negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan yang merupakan lokasi ke-10.
“Dalam konteks ini, kita menjelajah ke semua negeri untuk membayar zakat dengan tujuan untuk mendekati penerima terlibat.
“Sebenarnya, kita bukan sahaja menyampaikan bayaran zakat korporat, tetapi turut menyalurkan bantuan lain seperti kotak rezeki, sumbangan komputer riba selain menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Wilayah Persekutuan dan Sumbangan kepada Asnaf di McDonald’s Pandu Lalu Putrajaya baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Selain pembayaran zakat, pada majlis itu, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada 80 keluarga asnaf dari kawasan Putrajaya bagi membantu meringankan perbelanjaan harian mereka.
Turut diraikan ialah pelajar asnaf dari Kolej Profesional MAIWP apabila McDonald’s Malaysia menyumbangkan sebanyak 15 komputer riba bagi menyokong keperluan pembelajaran termasuk menyiapkan tugasan dan mengakses sumber pendidikan digital.
Sebagai tanda penghargaan, McDonald’s Malaysia juga menyediakan lebih 2,000 hidangan percuma kepada komuniti setempat melibatkan McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya, McDonald’s Pandu-Lalu Setiawangsa, McDonald’s Pandu-Lalu Sentul UOA dan McDonald’s Desa Pandan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cara agihan zakat di setiap negeri, Azhar berkata, jumlah itu ditentukan mengikut jumlah restoran McDonald’s di negeri berkenaan.
“Untuk Wilayah Persekutuan sebagai contoh, kita ada 55 restoran. Jadi, jumlah zakat yang kita bayar sebanyak RM300,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, selain pembayaran zakat korporat, McDonald’s Malaysia turut menyantuni komuniti setempat dengan menawarkan peluang belajar kepada golongan terlibat di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.
Menerusi program pendidikan itu, katanya, pelajar terlibat boleh menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3, seterusnya membolehkan mereka menyambung pelajaran hingga tahap diploma kemahiran.
Dalam pada itu, Azhar berkata, sokongan berterusan pelanggan selain usaha warga kerja dan kerjasama rakan niaga dilihat menjadi faktor utama dalam membolehkan McDonald’s Malaysia melaksanakan amanah itu.
“Dalam rezeki dikurniakan kepada kami, ada hak golongan asnaf yang perlu ditunaikan. Sebab itu, kewajipan ini sentiasa menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami dalam mengusahakan perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, melalui kerjasama dengan institusi zakat, pihaknya turut berharap zakat yang ditunaikan dapat membantu memenuhi keperluan asnaf dan menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan mereka.
Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.
Sijil tersebut mengiktiraf sumbangan zakat korporat yang dibuat oleh perniagaan di Malaysia di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat ini melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.
















