GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut manakala wanita parah selepas motosikal yang naiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas Rapid di Jalan Mayang Pasir, Bayan Baru di sini, lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.38 malam itu, mangsa lelaki berusia 29 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bahagian hadapan bas berkenaan.
Seorang lagi mangsa wanita berusia 23 tahun pula tersepit di bahagian hadapan bas sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata,, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.38 malam.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ayan Baru tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Kemalangan membabitkan sebuah bas pengangkutan awam Rapid dan motosikal jenis Modenas Z250.Terdapat dua mangsa iaitu perempuan tersepit di hadapan bas manakala, lelaki tidak sedarkan diri di bawah hadapan bas.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa wanita pada pukul 11.55 malam sebelum dia diberikan rawatan awal oleh Ambulans Komuniti Sungai Ara dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa lelaki pula berjaya dikeluarkan pada pukul 12.30 tengah malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di lokasi kejadian.
Dalam kejadian itu katanya lagi, pemandu bas berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi menyelamat yang turut dibantu polis dan PBSM tamat sepenuhnya pada pukul 12.42 malam tadi. -KOSMO! ONLINE
















