KUALA LUMPUR – Saingan Kejohanan Golf Terbuka Amatur ASEAN Bridgestone ke-10 melabuhkan tirainya minggu lalu yang menyaksikan penyertaan 1,200 pemain menerusi 11 pusingan kelayakan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Grand Final di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya itu menghimpunkan hampir 100 pemain golf amatur dari beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Jepun, Indonesia, Thailand, China dan Korea Selatan.
Edisi kali ini menyaksikan pencapaian penting bagi kejohanan berkenaan yang berkembang sejak sedekad lalu sebagai platform serantau menghubungkan pemain golf amatur, jenama antarabangsa dan industri golf secara keseluruhan.
Pada akhir saingan itu, Loh Junyou muncul juara bagi kategori gross selepas mencatatkan 75 pukulan manakala Muhammad Fadili Mohammad Fazil pula merangkul kategori nett selepas merekodkan 68 pukulan.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Urusan Prestige Golf, K Vasudevan.
Hadir sama Presiden Persatuan Golf Malaysia, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Prestige Golf, Kirthyiban Nair.
Kejohanan Golf Terbuka Amatur ASEAN Bridgestone dianjurkan oleh Prestige Golf dengan kerjasama Bridgestone Golf.
Kirthyiban dalam satu kenyataan berkata, matlamat utama penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Amatur ASEAN Bridgestone sejak awal adalah untuk mewujudkan platform yang mampu memberikan nilai lebih besar daripada sekadar pertandingan.
“Melalui kerjasama dengan Bridgestone, kami berjaya mewujudkan peluang secara konsisten untuk mendekatkan jenama itu dengan pemain golf, meningkatkan penglibatan terhadap produk serta membina hubungan berkekalan merentasi pelbagai pasaran.
“Memasuki dekad seterusnya, tumpuan kami adalah untuk memperluas jangkauan kejohanan di peringkat serantau, meningkatkan pengalaman pemain golf serta memperkukuh kedudukan Bridgestone Golf dalam kalangan komuniti golf amatur di seluruh Asia,” katanya.
Kirthyiban berkata, selepas berjaya membina asas kukuh sepanjang sedekad penganjurannya, Prestige Golf berhasrat mengembangkan lagi kejohanan itu menerusi peningkatan penyertaan, pengukuhan kerjasama dengan Bridgestone serta pewujudan lebih banyak peluang penglibatan jenama.
“Fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada usaha membawa kejohanan itu ke pasaran baharu di luar lokasi sedia ada, selain meneruskan pembangunan platform golf serantau yang kukuh,” katanya.
















