fbpx
PUTERI Balqis mengakui lebih cenderung memilih karya berat dengan isu sosial yang menyelami permasalahan masyarakat, bukan cerita fantasi yang segala nampak sempurna. – SYAKIR RADIN

‘Datang ke set menangis, balik ke rumah pun menangis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN sekadar mengalirkan air mata, penggambaran dan tanggungjawab sebagai pelakon tetap diteruskan meski mengalami masalah kesihatan.

Begitulah komitmen luar biasa yang diberikan Puteri Balqis atau Aqish bagi menghidupkan watak Farhana menerusi naskhah terbaharu terbitan Iqiyi berjudul Dua Nyawa.

Menurut aktres berusia 19 tahun itu, Dua Nyawa antara naskhah paling mencabar kemampuannya kerana menuntut permainan emosi yang rumit untuk diterjemahkan, termasuk membawa peranan gadis muda yang hamil anak luar nikah.

Pemilik nama penuh Nor Balqis Azizi itu berkata, Farhana bukanlah manusia antagonis sebaliknya manusia biasa yang melakukan kesilapan dan terpaksa menanggung akibat daripada keputusan sendiri.

“Farhana adalah seorang manusia biasa, dia tidak jahat dan bukan wira tetapi cuma manusia biasa yang menuntut keadilan untuk diri sendiri.

“Cerita ini mengenai kehamilan remaja tetapi bukan sebuah cerita klise kerana isu diketengahkan sangat gelap malah Farhana bukanlah contoh ikutan yang sempurna.

“Dia hampir memiliki segalanya tetapi pada masa sama semuanya musnah disebabkan satu kesilapan. Saya sendiri geram dengan watak ini,” katanya kepada HibGlam.

AQISH kini berehat daripada sebarang projek lakonan demi beri laluan kepada bisnes.

Watak berat

Ujarnya, cabaran terbesar menghidupkan karakter dalam drama 12 episod tersebut adalah permainan emosi yang perlu dizahirkan kerana kesedihan bukan sekadar diterjemahkan melalui tangisan semata-mata.

“Graf emosi Farhana turun naik dan bukan mendatar, jadi setiap hari saya terpaksa menangis. Air mata sudah kering.

“Watak berat ada pelbagai jenis variasi, begitu juga rasa sedih. Tidak semestinya semua kesedihan itu perlu ditangiskan dengan cara yang sama.

“Perkara yang paling sukar apabila Farhana cuba menjaga anak, sedangkan jiwanya masih lagi seorang kanak-kanak. Jadi, ini merupakan watak yang sangat mencabar untuk saya,” katanya lagi.

Aqish menambah, dia juga pernah mengalami demam berpanjangan selepas menjalani babak-babak berat sejak hari pertama penggambaran.

“Hari pertama penggambaran lagi kami sudah memulakan babak paling berat dalam cerita itu iaitu kena menangis. Apabila pulang ke rumah, saya terus demam.

“Saya datang ke set menangis, balik ke rumah pun saya menangis. Demam agak lama juga,” ujarnya.

Bagaimanapun, Aqish bersyukur apabila pihak produksi yang dianggap sebuah keluarga sentiasa mengambil berat mengenai keadaan fizikal dan kestabilan emosinya sepanjang menjayakan naskhah yang mula bersiaran pada 13 November nanti itu.

“Emosi daripada watak sedikit sebanyak memang akan terbawa-bawa ke kehidupan sebenar, lebih-lebih lagi apabila kerap membayangkan setiap babak selepas menerima skrip.

“Namun, jika ada jiwa yang kuat dan persekitaran baik, saya mampu melarikan diri seketika daripada emosi itu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Aqish turut berkongsi pengalaman menarik bekerja bersama barisan pelakon hebat seperti Vanida Imran, Zarif Ghazzi, Jazmy Juma, Atilia Haron dan Kodi Rasheed dalam drama arahan Riza Baharudin itu.

“Saya sangat kagum dengan semua pelakon kerana beri lakonan sangat hebat.

“Pada hari pertama penggambaran bersama Vanidah, saya terus berasakan dia memang ibu kepada Farhana yang benar-benar wujud.

“Sementara, Atilia juga sangat hebat dan benar-benar membuatkan saya geram dalam cerita ini, perkembangan wataknya sangat bagus daripada rasa benci sehinggalah timbul rasa sayang,” jelasnya.

MENERUSI naskhah arahan Riza Baharudin tersebut, Puteri Balqis bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Vanidah Imran, Zarif Ghazzi, Jazmy Juma, Atilia Haron dan Kodi Rasheed.

Cinta tragis

Berbicara mengenai kecenderungannya memilih naskhah berat, Aqish mengakui lebih tertarik kepada jalan cerita memaparkan realiti kehidupan masyarakat berbanding karya yang menggambarkan dunia serba sempurna.

Baginya, sesebuah naskhah tidak semestinya perlu sarat dengan konflik tetapi cukup jika jalan ceritanya mampu mengetengahkan isu kehidupan yang dekat dengan norma masyarakat.

“Jiwa saya lebih cenderung kepada cerita yang memaparkan realiti hidup. Saya bukan jenis orang yang terlalu suka cerita fiksyen yang menggambarkan dunia dalam keadaan baik sahaja.

“Mungkin ramai orang tidak meminati naskhah terlalu berat kerana mereka lebih suka menutup realiti dalam masyarakat, sementara saya suka mengambil watak berat kerana ada topik penting yang perlu kita bicarakan,” tuturnya.

Jelas Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin (ASK) 2014 itu, setiap watak yang pernah dibawa sebelum ini termasuk menerusi Keluarga Itu, Terlanjur Cinta dan Dua Nyawa mengetengahkan kemelut emosi yang berbeza meski ada yang berpendapat semuanya kelihatan sama pada dasarnya.

“Keluarga Itu mengisahkan penderaan emosi daripada keluarga sendiri, Terlanjur Cinta mengenai pengorbanan sementara Dua Nyawa tentang proses kematangan diri.

“Mungkin pada mata orang semuanya nampak sama kerana watak gadis muda mengandung tetapi hakikatnya ada banyak emosi yang perlu saya mainkan. Farhana sama sekali tidak serupa dengan Damia (Keluarga Itu) dan Aishah (Terlanjur Cinta),” tegasnya.

Aqish bagaimanapun tidak menolak tawaran naskhah fiksyen lain sepenuhnya, selagi jalan cerita yang diketengahkan tentang realiti kehidupan masyarakat.

“Saya tiada masalah berlakon dalam karya fiksyen lain. Cuma jiwa saya lebih terarah kepada cerita yang sebenarnya tidak perlu terlampau berat pun, asalkan dapat melihat denyut nadi kehidupan masyarakat,” tuturnya.

Aqish juga pernah ditawarkan naskhah ringan, namun akhirnya diubah membawa isu lebih berat. Biarpun cenderung kepada naskhah berat, Aqish mengakui tertarik dengan kisah percintaan denga sisi emosi tersendiri.

“Ada tawaran cerita ringan yang datang kepada saya tetapi apabila mereka melihat wajah saya, mereka terus menukar jalan cerita itu menjadi ‘dark’.

“Cinta juga ada pelbagai jenis cinta. Saya lebih menyukai kisah cinta yang tragis kerana cinta bukan hanya ada satu jenis sahaja.

“Jika ada tawaran naskhah cinta dan ceritanya bersesuaian, saya bersedia saja,” jelasnya lagi.

Berkongsi projek terbaharu, dia kini dalam fasa berehat seketika daripada dunia lakonan untuk memberi tumpuan kepada bidang perniagaan yang dijalankan bersama keluarga.

“Saya baru sahaja selesai dengan drama Dua Nyawa dan air mata pun semuanya sudah kering. Jadi, saya perlu ‘top up’ semula tenaga dan emosi terlebih dahulu sebelum beralih ke projek lain,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN