PADA usia 16 tahun, Charlie Elphinstone sudah memiliki ruang khas di rumahnya yang dipenuhi koleksi barangan antik dan bersejarah.
Menurut remaja berasal dari Aberdeenshire, Scotland itu, bilik menempatkan koleksi antik dan memorabilia ketenteraan tersebut memberi makna tersendiri.
Walaupun masih muda, namun anak sulung daripada tiga beradik itu memiliki jiwa sentimental yang tinggi terhadap barangan lama.
“Minat saya terhadap barangan antik bermula secara tidak sengaja ketika berusia kira-kira 10 tahun. Kebanyakan koleksi awal saya terdiri daripada barangan lama yang diwarisi daripada keluarga.
“Bagi saya, antara koleksi paling penting mungkin tidak mempunyai nilai tinggi dari segi kewangan, tetapi cukup bernilai dari sudut sentimental,” katanya.
Perjalanan hidup Elphinstone bukan sentiasa mudah kerana dia berdepan masalah kesihatan sejak kecil akibat gangguan pada telinga.
Dia menjalani dua pembedahan bagi memasang tiub kecil pada telinga, namun prosedur kedua pada tahun 2020 menyebabkan kerosakan saraf sehingga mengakibatkan tinnitus, kesakitan berpanjangan dan sensitiviti melampau terhadap bunyi.
Keadaan itu menyebabkan Elphinstone sukar meninggalkan bilik sehingga menyebabkan perkara paling mudah dalam kehidupan hariannya menjadi satu cabaran besar.
Ketika berusia 12 tahun, dia telah dirujuk kepada pakar psikologi kesakitan untuk membantunya belajar menjalani kehidupan dengan keadaan tersebut.
Walaupun masih menanggung kesakitan, namun minat terhadap barangan antik memberikan ruang buat Elphinstone untuk kembali aktif bersosial.

Kini, bilik yang dahulunya menjadi ruang santai keluarga itu dipenuhi pelbagai koleksi termasuk stereng pesawat pengebom Shackleton, sarung tangan juruterbang, serpihan peluru dikeluarkan daripada kaki seorang veteran perang serta puluhan pingat.
Jelas Elphinstone, antara barangan antik dalam koleksinya adalah pakaian seragam tentera, topi keledar dan bayonet Jerman.
“Saya memiliki ruang koleksi memorabilia ketenteraan yang menempatkan sebutir pingat berusia 166 tahun, ia dikeluarkan selepas Perang Napoleon.
“Saya turut memiliki patung peragawan bersaiz manusia yang lengkap dengan pakaian seragam tentera.
“Saya membelinya menggunakan wang saku sendiri.
“Minat terhadap barangan antik juga membuka peluang kepada saya bekerja di kedai Strichen Antiques setiap minggu.
“Pemiliknya, Graham Smith menawarkan pekerjaan itu selepas tertarik dengan pengetahuan dan minat saya ketika berkunjung sebagai pelanggan,” katanya.
Menariknya, Elphinstone juga gemar mengenakan sut hitam, kemeja putih dan tali leher berjalur merah serta biru sambil berkongsi kisah sejarah di sebalik sesuatu barangan bersama pelanggan.
Selain bekerja, dia turut berkongsi pengetahuan sejarah bersama neneknya menerusi sesi perkongsian dengan kelab komuniti di Perpustakaan New Pitsligo.
Selain minat terhadap barangan bersejarah, Charlie juga amat menghargai kenangan bersama mendiang moyangnya, Jean yang pernah berkhidmat dalam Women’s Land Army ketika Perang Dunia Kedua.
Moyangnya sering bergurau kerana tidak menerima pingat seperti tentera lelaki yang pernah berkhidmat ketika perang.
“Saya membuat semakan untuk mengetahui sama ada dia layak menerima sesuatu.
“Rupa-rupanya, moyang saya sebenarnya layak mendapatkan pingat peringatan.
“Saya menguruskan borang permohonan dan membayar kosnya sendiri. Sewaktu meninggal dunia, moyang saya dikebumikan dengan memakai pingat kecil. Dia sangat bangga dengannya,” katanya.
















