KUALA TERENGGANU – Lima nelayan tempatan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka dirempuh sebuah bot lain disyaki milik warga asing dari perairan Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Insiden pada pukul 5.30 pagi itu berlaku sewaktu bot dinaiki mereka sedang berlabuh pada kedudukan kira-kira 61.12 kilometer dari perairan Kuala Terengganu, dekat ini.
Tekong bot, Mamat Abdullah, 79, mendakwa, dia dan empat awak-awaknya yang sedang berehat menunggu waktu subuh dikejutkan dengan dentuman kuat pada bahagian kanan bot mereka.
“Saya bergegas keluar dek sebaik mendengar dentuman terbabit. Alangkah terperanjat mendapati sebahagian badan kanan bot telah pecah dirempuh bot lain tersebut. Paling dikesalkan bot yang melanggar kami bukan sahaja enggan bertanggungjawab malah terus berlalu begitu sahaja,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Pulau Ketam, di sini, hari ini.
Mamat berkata, dia mengambil tindakan pantas mengarahkan awak-awaknya mengalihkan tong berisi air ke bahagian kiri bot bagi mengimbangi kedudukan yang telah mengalami kerosakan.
“Mujur waktu itu keadaan laut agak tenang. Kami perlahan-lahan pulang ke jeti bagi mengelak perkara tidak diingini.
Berdasarkan struktur bot, saya percaya yang melanggar kami itu milik nelayan asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















