GEORGE TOWN – “Kes terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang itu bukan saya.”
Demikian menurut ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini dengan menegaskan bahawa kes baharu membabitkan seorang wakil rakyat yang didakwa mengasari isterinya itu bukanlah dirinya.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada laporan polis berhubung dakwaan seorang ADUN di negeri ini bertindak mengasari isterinya berusia 36 tahun pada Sabtu lalu.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Untuk rekod, Fahmi sebelum ini pernah berdepan pertuduhan mencederakan isterinya apabila beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada 27 Februari lalu.
Fahmi, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting. -KOSMO! ONLINE
















