KYIV – Ukraine menyatakan bahawa serangan Russia ke atas sebuah sekolah yang mengagihkan bantuan kemanusiaan mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang sekali gus menghancurkan harapan rapuh untuk mencapai ‘kemajuan ke arah perdamaian’ selepas gencatan senjata tempatan di selatan Ukraine berakhir tanpa sebarang pelanggaran.
Moscow menyambung semula serangannya ke atas wilayah Kherson selepas gencatan senjata di rantau itu berakhir. Ia merupakan tempoh bertenang terpanjang dalam perang yang berlanjutan antara dua negara jiran itu sejak pencerobohan Russia pada 2022, kata Kyiv.
Gencatan senjata yang jarang berlaku itu diusahakan oleh Wanita Pertama Amerika Syarikat, Melania Trump bagi membolehkan misi bantuan ke bandar Oleshky yang diduduki Russia. Ia berakhir kelmarin selepas bermula pada Selasa minggu lalu, dengan kedua-dua pihak tidak melaporkan sebarang pelanggaran.
Namun, beberapa jam selepas gencatan senjata berakhir, Russia menyasarkan sebuah kampung di Zaporizhzhia, bersempadan dengan Kherson, dengan serangan berulang kali yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang, kata pemangku gabenor wilayah, Mykhailo Semikin di platform Telegram.
Sebahagian mangsa yang terkorban datang untuk mengambil bantuan di sekolah tempatan.
Rakaman video dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan Ukraine menunjukkan bangunan itu ranap dengan pekerja penyelamat sedang bekerja di lokasi kejadian.
“Setiap Isnin, bantuan kemanusiaan diagihkan kepada orang ramai di sana.
“Russia melancarkan serangan pertama ketika orang ramai tiba menerusi beberapa bom udara. Kemudian, terdapat serangan ulangan dengan lebih banyak bom digugurkan, kali ini menyasarkan pusat perlindungan,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Menurut Semikin pula, antara yang terbunuh termasuk dua pekerja penyelamat dan empat anggota polis.
Zelensky berkata, selepas gencatan senjata berakhir, terdapat detik di mana langkah seterusnya menunjukkan bahawa kemajuan ke arah perdamaian adalah tidak mustahil.
“(Bagaimanapun) dengan pembunuhan ini, Russia menghantar isyarat yang bertentangan sama sekali. Russia mengharapkan lebih banyak pembunuhan. Mesti ada tindak balas terhadap perbuatan ini,” kata Zelensky. – AFP.
















