SABAK BERNAM – Hanya dengan membayar sehingga RM1,800 seorang, migran warga Indonesia dipercayai boleh masuk dan keluar dari negara ini menerusi laluan haram yang dikawal sindiket penyeludupan.
Lebih licik, sindiket turut menawarkan khidmat ‘transporter’ (penghantar) dengan bayaran bermula RM500 bagi membawa migran ke lokasi tertentu di sekitar Lembah Klang.
Kegiatan itu dibongkarkan menerusi Op Pintas yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di tiga lokasi di sekitar daerah ini bermula 1 November hingga awal pagi semalam.
JSJ Bukit Aman berkata, hasil serbuan, pihaknya menahan seramai 36 individu terdiri 25 warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak serta 12 individu yang dipercayai ‘transporter’.
“Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran RM1,500 hingga RM1,800 bagi setiap migran untuk memasuki atau keluar dari negara ini.
“‘Transporter’ pulak mengenakan bayaran bermula RM500 bagi perjalanan ke lokasi di Lembah Klang bergantung pada jarak,” katanya di Facebook rasminya.
Operasi itu turut disertai Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin dan anggota Bahagian Bantuan Teknik (D6) JSJ.
Sebanyak 11 buah kenderaan, 13 buah telefon bimbit dan wang tunai RM4,930 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.
“Sasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket termasuk pihak yang berperanan sebagai pengendali dan penyelaras aktiviti penyeludupan migran ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
















