fbpx
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berucap pada majlis pengeluaran sulung daripada barisan GWM Wey G9 HEV MPV and GWM EC15S Hybrid SUV di Melaka.

EPMB rai pengeluaran MPV HEV GWM, SUV hibrid GWM EC15S

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) meraikan pengeluaran MPV HEV GWM Wey G9 dan SUV Hibrid GWM EC15S pertama dari barisan pemasangannya di Pegoh, Melaka, sekali gus memperluas barisan kenderaan yang dipasang di fasiliti pengeluaran EPMB di Melaka.

Pengeluaran sulung ini menambah kepada lapan model sedia adanya dan terus memperkukuh kedudukan Melaka dalam ekosistem pengeluaran dan eksport automotif Malaysia.

Permulaan pengeluaran bagi kedua-dua kenderaan ini berlaku kurang daripada lima bulan selepas pengeluaran sulung PHEV GWM Wey G9, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama antara EPMB dan GWM.

Pengarah Eksekutif EPMB, Aidan Hamidon berkata, sejak mula bekerjasama dengan GWM pada 2023, kerjasama pemasangan syarikat telah berkembang daripada hanya satu model, iaitu HAVAL H6 HEV, kepada empat model, termasuk Wey G9 PHEV dan WEY G9 HEV.

“Dengan EC15S, kami kini mengusahakan seni bina platform kenderaan sepunya termaju GWM, yang membuka peluang untuk memperluas lagi kerjasama kami,” katanya dalam kenyataan.

Pengeluaran GWM EC15S  telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk (Dr.) Aminar Rashid.

Sebagai susulan terhadap permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan automotif, fasiliti pengecatan kenderaan EPMB yang bakal dibangunkan yang merupakan komponen teras fasiliti tersebut, kini dijangka mempunyai kapasiti tahunan lebih daripada 30,000 kenderaan.

Penambahan keupayaan pengecatan badan kenderaan secara dalaman dijangka meningkatkan pengiraan kandungan tempatan, menjana nilai tambah dan memperkukuh ekosistem pemasangan automotif Melaka.

Pengeluaran dijadualkan bermula pada penghujung Ogos 2027 selepas proses pengujian dan pentauliahan selesai.

GWM baru-baru ini mengumumkan jumlah terkumpul pemasangan kenderaan GWM di Malaysia telah melepasi 10,000 unit sejak pengeluaran pemasangan tempatan (CKD) bermula pada Oktober 2024.

Selain itu, GWM juga memaklumkan bahawa syarikat itu telah mengeksport lebih daripada 1,100 MPV G9 yang dipasang di Malaysia ke Thailand dan Indonesia.

Pencapaian ini membuktikan kekuatan penawaran produk GWM serta potensi pemain automotif Malaysia untuk mengembangkan operasi di peringkat serantau melalui kerjasama dengan pemain global. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN