fbpx
SKUAD negara terpaksa akur berdepan satu lagi kekalahan kepada India, namun kali ini berjaya mempamerkan aksi yang lebih positif. - FB MHC

Jurang Speedy Tigers-India semakin rapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brandon Carolan percaya jurang kualiti antara Malaysia dengan India semakin mengecil meskipun Speedy Tigers masih belum berjaya menamatkan kemarau kemenangan ke atas lawan itu.

Penilaian tersebut hadir selepas Malaysia tewas 2-4 kepada India dalam aksi Kumpulan Piala Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Olimpik Surjit Singh, Punjab, kelmarin, sekali gus menyaksikan rekod tanpa kemenangan ke atas pasukan itu berterusan sejak 2018.

Bagaimanapun, Carolan melihat perkembangan positif dalam permainan anak buahnya apabila mereka mempamerkan aksi lebih baik berbanding pertemuan menentang India pada Sukan Asia Aichi-Nagoya sebelum ini.

Beliau mengakui tempoh 10 minit yang sukar menjadi titik perubahan momentum perlawanan, namun menegaskan prestasi keseluruhan pasukan menunjukkan peningkatan berbanding aksi terdahulu.

“Kami bermain lebih baik dalam perlawanan ini berbanding ketika di Sukan Asia dan saya fikir jurang antara kedua-dua pasukan semakin kecil, selain kami juga semakin menunjukkan peningkatan,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi kejayaan menewaskan India pada separuh akhir Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, selepas sebelum ini turut tewas 1-5 kepada pasukan sama dalam final Sukan Asia Aichi-Nagoya.

India yang dibarisi pemain berpengalaman mempamerkan ketajaman menerusi kaptennya, Harmanpreet Singh yang meledak hatrik, manakala Akhimullah Anuar Esook dan Shello Silverius masing-masing menyumbang satu gol buat Malaysia.

Pada masa sama, Speedy Tigers sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas mengumpul sembilan mata untuk menghuni tangga kedua daripada enam pasukan, di belakang India yang mengungguli kumpulan dengan 12 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN