PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) sudah memasang impian awal untuk menyamai rekod  yang dilakukan Real Madrid dengan merangkul gelaran Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut, musim ini.
Keyakinan itu disuarakan tonggak tengah PSG, Fabian Ruiz yang percaya skuad gergasi Perancis tersebut memiliki kemampuan untuk terus menguasai pentas elit Eropah selepas bergelar juara dua musim berturut-turut.
Menurut Ruiz, PSG perlu memastikan mereka menamatkan fasa liga dalam kelompok lapan pasukan terbaik meskipun menyedari cabaran musim ini semakin sengit.
“Kami percaya kepada kemampuan sendiri seperti yang sudah ditunjukkan dalam beberapa musim kebelakangan ini. Kami tahu cabaran kali ini sangat sukar.
“Salah satu sasaran kami adalah menamatkan fasa liga dalam kelompok lapan terbaik dan cuba berada pada kedudukan setinggi mungkin,” katanya.
Sebagai rekod, Real menjadi satu-satunya kelab Eropah yang menjuarai UCL dengan gelaran hatrik pada 2016 hingga 2017.
PSG yang kini memburu gelaran ketiga berturut-turut dijangka berdepan ujian getir apabila bertandang ke gelanggang Villarreal bagi aksi keempat fasa liga UCL, awal pagi esok.
Sementara itu, Ruiz turut menyuarakan keterujaan bergandingan dengan rakan baharu, Ferran Torres yang dianggap memberikan dimensi tambahan kepada jentera serangan pasukan musim ini.
“Torres adalah pemain baharu yang memberi nilai tambah kepada jentera serangan pasukan untuk tampil lebih ampuh ketika ini,” katanya. – AGENSI
















