JOHOR BAHRU – Masalah keluarga dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan tiga lelaki tempatan di hadapan sebuah kedai di kawasan Plentong, di sini, malam semalam.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 27 hingga 60 tahun itu ditahan polis bagi membantu siasatan selepas rakaman video pergaduhan mereka berdurasi dua minit enam saat tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Pasal Johor X pada pukul 10.10 malam, semalam.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan sebelum mengesan dan menahan ketiga-tiga lelaki terbabit.
“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai hubungan kekeluargaan dan punca pergaduhan dipercayai disebabkan masalah keluarga.
“Semakan juga mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Seksyen 160 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan gaduh-gempar yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 3 November bagi membantu siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE















